Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

SERBU KEGIATAN PENYELUDUPAN

TEMBURONG, Khamis 11 Ogos - Unit Operasi Khas (UOK), Pasukan Simpanan Polis ‘C’ Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu serbuan dan seterusnya berjaya membuat penahanan ke atas dua (2) orang individu yang dipercayai melibatkan diri dengan kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan. 

Adapun serbuan tersebut telah dijalankan pada 11 Ogos 2022 sekitar awal pagi bertempat di kawasan Penurunan Perahu Kg Menengah, Daerah Temburong. 

Terdahulu, semasa pemantauan dijalankan telah mendapati 3 kelibat individu (suspek) sedang asyik memunggah bungkusan kotak yang mencurigakan daripada sebuah perahu untuk dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan. Sejurus pihak polis membuat serbuan, ketiga-tiga suspek lalu melarikan diri menuju masuk ke dalam sungai, walau bagaimanapun dua (2) daripada suspek telah berjaya diberkas manakala seorang lagi masih dalam pencarian. 

Pemeriksaan kemudian dijalankan dan mendapati bungkusan-bungkusan tersebut adalah merupakan barangan tegahan berupa minuman keras berjumlah 204 botol dan 96 tin pelbagai jenama yang cuba diseludup masuk ke dalam negara ini. 

Kedua-dua suspek adalah lelaki, warganegara tempatan dan asing berumur 24 dan 26 tahun. Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Balai Polis Bangar dan kemudiannya diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) memandang serius akan kegiatan-kegiatan penyeludupan ini dan akan sentiasa terus membuat pemantauan serta menjalankan operasi-operasi bagi membenteras kegiatan sedemikian. 

Pihak polis juga ingin menyarankan kepada orang ramai agar dapat bekerjasama dan memberikan apa jua jenis maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan serta boleh disalurkan melalui e-mel laman sesawang PPDB www.police.gov.bn ataupun Instagram @upa.ppdb.



Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments