Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MAJLIS SAMBUTAN AWAL TAHUN HIJRAH 1444 DAN DOA SELAMAT MERAIKAN KEPULANGAN JEMAAH HAJI PPDB

GADONG, Khamis 4 Ogos – Badan Ugama Islam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1444 diselajurkan dengan Majlis Doa Selamat Bagi Meraikan Kepulangan Jemaah Haji Pasukan Polis Diraja Brunei di Surau Polis Gadong, PPDB. 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis PPDB. 

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin bersama Datin, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Yang Mulia Mohamad Amirruddin bin Haji Tunjang selaku Pengerusi Badan Ugama Islam (BUI), pengarah-pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, keanggotaan dan kakitangan awam PPDB. 

Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar. Majlis diserikan lagi dengan ceramah bertajuk ‘Hijrah Menuju Wawasan Kehidupan’ yang disampaikan oleh penceramah undangan Ustaz Pg Ahmad Faris Ramadhani bin Pg Hj Sallehuddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah Kg Kiarong. 

Intipati ceramah berkenaan mengungkap dan mengimbas peristiwa agung sejarah islam iaitu hijrah baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dari Mekah Al-Mukaramah ke Madinah Al-Munawarah. Antara pengajaran yang dapat diambil dari peristiwa tersebut ialah kesabaran dan keteguhan hati dalam mencapai cita cita atau wawasan. Walau pun mengalami kesulitan dan rintangan tetapi tetaplah sabar, ikhtiar, berdoa dalam mempertahankan keyakinan, akidah dan pendirian. 

Kemudiannya majlis diteruskan dengan Dikir Marhaban bagi meraikan kepulangan jemaah haji PPDB dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat. 


Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments