BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 10 Oktober 2019 – Dua (2) orang lelaki dipercayai terlibat dengan kejadian ceroboh di sebuah rumah yang tidak didiami di Kampung Lambak Kanan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi, Bandar Seri Begawan pada hari ini, 10 Oktober 2019.
Kejadian berlaku pada 27 September 2019 sekitar jam 7.40 malam di mana pemilik rumah (mangsa) telah menerima teks pesanan ringkas (SMS) daripada jiran menyatakan salah sebuah bilik di rumah mangsa kelihatan terang dipercayai lampu suis telah dinyalakan atau digunakan.
Balai Polis Berakas segera dilaporkan berikutan kejadian yang mencurigakan tersebut dan hasil siasatan yang dijalankan telah mendapati rumah berkenaan betul telah dicerobohi dan 1 unit penghawa dingin telah didapati hilang dicuri.
Hasil daripada pengumpulan maklumat dan risikan telah berjaya menahan dua (2) orang suspek lelaki warga tempatan dipercayai dalang kejadian berkenaan.
Suspek pertama bernama Adib Sufi bin Mohd Asri berumur 31 tahun dan suspek kedua Mohd Zulhaji bin Abd Ali berumur 29 tahun. Kedua-duanya tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Menurut kedua-dua suspek, mereka memasuki rumah mangsa melalui ruangan pintu kecil yang ditutupi dinding kayu dan seterusnya membuka 1 unit penghawa dingin jenama Akira lalu menjualnya kepada seorang lelaki dengan harga $30 ringgit.
Akibat kesalahan jenayah yang dilakukan, Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara ke atas Adib Sufi bin Mohd Sufi selama 16 bulan manakala Mohd Zulhaji bin Abd Ali selama 24 bulan penjara yang bermula pada tarikh 8 Oktober 2019 atas pertuduhan di bawah Seksyen 451 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu pencerobohan rumah untuk melakukan kesalahan yang boleh dihukum penjara.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menasihati kepada orang ramai akan kepentingan berjiran dan atas keperihatinan dan sikap ambil peduli pihak masyarakat dapat membantu pihak polis dalam sama-sama membanteras dan mencegah jenayah berleluasa di negara ini.

Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
