VIETNAM – Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali beserta delegasi telah hadir ke Persidangan Ketua Polis Negara-Negara ASEAN (ASEANAPOL) kali ke-39 di Melia Hotel, Hanoi Viet Nam.
Persidangan yang berlangsung pada 16 sehingga 20 September 2019 itu membawa tema “Honoured by Partnership, Sustained by Unity” (Dihormati oleh Perkongsian, Dikekalkan oleh Perpaduan) dan telah menghimpunkan Ketua-ketua Polis dari Negara Anggota ASEAN iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Viet Nam. Ketua-Ketua Delegasi Rakan Dialog dihadiri oleh Australia, China, Jepun, Korea, New Zealand, Russia, Turkey, ASEAN Sekretariat, Europol dan INTERPOL. Manakala, Para Pemerhati ASEANAPOL iaitu Fiji, Timor Leste, Agensi Jenayah Kebangsaan United Kingdom, Persekutuan Biro Siasatan (FBI) United States, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan Pertubuhan Antarabangsa Ketua-Ketua Polis (IACP).
Semasa persidangan tersebut PPDB telah menyerahkan tugas Pengerusi dan Tuan Rumah ASEANAPOL seterusnya kepada The Office of Investigation Police Agency, Viet Nam. Selaku Pengerusi dan Tuan Rumah ASEANAPOL sebelum ini, Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei telah membentangkan perkara-perkara yang telah dicapai semasa Persidangan Ketua Polis Negara-Negara ASEAN ke-38 yang telah berlangsung di Negara Brunei Darussalam pada tahun 2018. Ini termasuklah penandatanganan komuniti bersama ke-38 (38th Joint Communique) serta bersetuju dengan cadangan baru dan resolusi yang diterima pakai merangkumi 14 topik yang mempunyai kepentingan bersama.
Di sepanjang menjadi Pengerusi dan Tuan Rumah ASEANAPOL, PPDB juga telah mengendalikan dengan jayanya beberapa permesyuaratan berkaitan seperti 35th ASEANAPOL Database System Technical Committee (ADSTC), 9th ASEANAPOL Training Cooperation Meeting (ATCM) , 3rd ASEANAPOL Forensic Science Network Annual Meeting (AFSN) serta 28th Joint ASEAN Senior Police Officers’ Course (JASPOC) di negara ini.
Turut dibincangkan di dalam persidangan berkenaan ialah galakkan kerjasama di kalangan negara-negara ASEAN dalam membanteras dan mencegah jenayah melibatkan jenayah keganasan, jenayah pemerdagangan manusia, dadah, jenayah kewangan dan perbankan, jenayah siber dan beberapa isu lagi.
Di akhir persidangan, PPDB turut menghadapkan pencalonan bagi mengisi jawatan selaku Pengarah Perancangan dan Program di bawah kelolaan Sekretariat ASEANAPOL serta penetapan negara Kemboja selaku tuan rumah Persidangan Persidangan Ketua Polis Negara-Negara ASEAN (ASEANAPOL) kali ke-40 pada tahun hadapan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
