TEMBURONG, Selasa 24 Sept 2019 – Empat (4) orang warga asing terdiri daripada tiga (3) warga Viet Nam dan seorang (1) warga Malaysia ditahan dalam 2 operasi berasingan oleh keanggotaan Pasukan Simpanan Polis ‘C’ Kompeni,  Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berikutan kejadian pencerobohan serta aktiviti mencuri kayu gaharu di kawasan hutan berdekatan Sungai Ayam-Ayam, Daerah Temburong. 

Kegiatan kesemua suspek dikesan hasil usaha yang berterusan daripada pemantauan dan risikan yang dijalankan oleh Pihak Polis beserta kutipan maklumat daripada orang ramai di persekitaran kampung bagi membanteras jenayah pencerobohan dan kerosakan di kawasan sempadan negara ini dilenyapkan sehabis-habisnya. 

Dalam operasi pertama yang dijalankan pada 16 September 2019 berjaya menahan 3 orang suspek warga Viet Nam sedang berehat di dalam sebuah kem di dalam hutan dan Pihak Polis berjaya mengepung dan menahan kesemuanya. Pemeriksaan dijalankan ke atas semua suspek dan mendapati tidak ada mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan hanya menemukan perkakas-perkakas bagi tujuan mengambil kayu gaharu.  

Hasil siasatan mendapati, ketiga-tiga suspek juga telah diarahkan oleh seorang individu dan dihantar menggunakan bot memasuki kawasan Brunei untuk mencari kayu gaharu dan dijanjikan akan diberikan imbalan berupa wang hasil daripada jualan kayu gaharu tersebut. 

Operasi susulan telah dijalankan dan berhasil menangkap seorang lelaki warga Malaysia pada 24 September 2019 sekitar jam 4 pagi dipercayai individu yang menghantar dan mengarah ketiga-tiga suspek awal untuk melakukan aktiviti curi gaharu di kawasan negara ini. 

Kesemua suspek dan barang rampasan ditahan di Balai Polis Bangar, Temburong dan akan berdepan dengan pertuduhan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen Bab 5 (1) Penggal 17. 

1- Hoang Van Thien, 38 tahun, Viet Nam 

2- Nguyen Tan Dung, 25 tahun, Viet Nam 

3- Nguyen Ven Thoi, 39 tahun, Viet Nam 

4- Mohd Zularif bin Zinial, 23 tahun, Limbang Malaysia

Dalam masa yang sama Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa meningkatkan usaha dalam memperkasakan menangani isu sempadan yang terdedah dan menjadi laluan penjenayah rentas sempadan yang mana jika tidak dipantau secara serius, ianya akan mencetus suasana yang tidak harmoni di dalam negara ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI