BRUNEI MUARA – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin mengingatkan kepada orang ramai agar tidak mudah terpedaya sekiranya menerima panggilan telefon atau teks pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa sebagai Agensi Penguatkuasa Undang-Undang khasnya Pihak Polis kerana dikhuatiri ianya adalah panggilan atau teks palsu.   

Ini adalah berikutan daripada aduan yang diterima oleh PPDB daripada mangsa yang cuba diperdaya melalui teks pesanan ringkas oleh individu (sindiket penipuan) yang mengaku sebagai seorang anggota Polis mengatakan mangsa adalah seorang suspek yang terlibat dalam kesalahan jenayah dan meminta mangsa untuk memberikan alamat rumah kediaman mangsa serta menghendaki mangsa untuk menjamin keluar rakan mangsa dari penjara.   

Pihak Polis tidak akan menghubungi sebarang suspek jika benar ada terlibat melakukan sebarang kejadian jenayah bahkan prosedur dan peraturan-peraturan tertentu akan digunakan sebaiknya untuk mendapatkan suspek.   

Secara lazimnya, mangsa yang diperdaya akan merasa panik, lebih-lebih lagi diugut kononnya mangsa ada terlibat, disiasat serta akan dikenakan sebarang tindakan undang-undang menyebabkan mereka terpaksa akur dan mematuhi sebarang arahan daripada sindiket penipuan tersebut.   

Oleh itu, bagi mengelak daripada kejadian sedemikian berlaku, PPDB menyarankan agar orang ramai;  

• Tidak memberi maklum balas ke atas sebarang panggilan telefon atau SMS yang meminta maklumat peribadi awda.   

• Tidak mendedahkan sebarang alamat dan rumah kediaman awda.  

• Tidak mengongsikan sebarang maklumat akaun / no pin / kata laluan bank awda.   

• Tidak melakukan sebarang transaksi kewangan awda jika diarahkan oleh individu yang dicurigai untuk tujuan keselamatan.   

Jika ada berlaku, sila segera tamatkan panggilan atau teks pesanan ringkas berkenaan dan laporkan terus ke talian kecemasan 993 atau ke Balai-Balai yang berdekatan. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI