BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 1 Mei 2019 – Berikutan kes bunuh yang telah berlaku pada 23 Mei 2015 yang melibatkan kematian seorang lelaki warganegara tempatan bernama Ispawi bin Idris di kawasan  Pandan 7, Kuala Belait telah pun dijatuhkan hukuman di Mahkamah Tinggi, Bandar Seri Begawan pada hari ini. 

Tertuduh bernama Muhammad Zulkifli bin Abdul Jalil berumur 27 tahun telah mengaku bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 304 (1) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Kesalahan mematikan orang yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh orang. 

Ketua Hakim, Yang Amat Arif Dato Paduka Steven Chong Wan Oon telah menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh dengan pemenjaraan seumur hidup yang akan bermula dari tarikh tertuduh direman. 

Ketua hakim negara turut menjelaskan bahawa dengan faktor mitigasi yang dihadapkan oleh pihak defendan beserta pengakuan salah, ketua hakim berpendapat bahawa graviti kesalahan tersebut setimpal dengan hukuman penjara seumur hidup.  

Motif sebenar terjadinya pembunuhan tersebut adalah untuk mencuri wang daripada si mangsa. Tertuduh bersama rakan tertuduh telah menggunakan pil tidur, racun rumput dan senjata ke atas mangsa. Ketua Hakim juga mengambil kira kesan ke atas keluarga mangsa. 

Ketua hakim juga memberikan kesimpulan dan berpendapat bahawa kes ini adalah kes yang paling serius dan ianya patut dihukum dengan tindakan hukuman yang paling tinggi. 

Kes ini disiasat oleh Unit Siasatan Khas, Pasukan Polis Diraja Brunei. 

Timbalan Pendakwa Raya Shamshuddin bin Haji Kamaluddin dan Pegawai Pendakwa Siti Nurjauinah bte Haji Kula. Manakala Peguambela Ahmad Basuni bin Haji Abbas. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI