BRUNEI-MUARA, Khamis, 24 Julai 2025 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hari ini mencatatkan satu lagi langkah bersejarah dalam usaha memperkukuhkan keselamatan perairan negara melalui Majlis Pentauliahan bagi bot pemintas baharu, Interceptor Class Boat (ICB), yang disempurnakan di Mangrove Paradise Resort, Jalan Kota Batu.
Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Tetamu Kehormat.
Turut hadir, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Timbalan Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang) serta Yang Mulia Awang Zulhusam Bin Haji Abdul Samad, Pemangku Setiausaha Tetap di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang).
Turut hadir bersama Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis, PPDB dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah Bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB serta pegawai-pegawai kanan dari JPM, Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), Pejabat Peguam Negara, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan pegawai-pegawai kanan PPDB.
Perolehan ICB ini merupakan satu pencapaian strategik di bawah Pelan Operasi Maritim PPDB, selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 ke arah membentuk sebuah negara yang selamat, berdaya tahan dan makmur. Bot ini bukan sekadar penambahan aset fizikal, malah melambangkan iltizam berterusan kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara terhadap ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks dan dinamik.
Bot ICB tersebut dilengkapi dengan sistem navigasi dan komunikasi terkini dan direka khas bagi pelaksanaan rondaan berkelajuan tinggi, pemintasan sasaran mencurigakan serta respons pantas terhadap insiden penyeludupan, pencerobohan sempadan, dan jenayah rentas sempadan.
Inisiatif ini turut disokong oleh JPM selaku penyelaras dasar keselamatan negara, menerusi pendekatan ’Whole-of-Government’ yang melibatkan kerjasama erat bersama agensi-agensi utama lain seperti Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Immigrisen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Pusat Penyelarasan Maritim Kebangsaan (PPMK), Pihak Berkuasa Maritim Dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) dan lain-lain. Pendekatan ini bertujuan memperkukuh keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang maritim negara secara holistik.
Menurut Pengarah Jabatan Gerakan, pencapaian ini diharap akan meningkatkan semangat, dedikasi dan profesionalisme anggota Polis Marin (PolMar) dalam menjalankan tugas harian, sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat terhadap tahap keselamatan perairan Negara Brunei Darussalam.
Majlis turut diserikan dengan Pentauliahan Bot oleh Tetamu Kehormat & diikuti bacaan doa selamat, dan seterusnya menaiki bot menyusuri Sungai Brunei. Seterusnya penyerahan rasmi model bot dari Ketua Pegawai Eksekutif Brunei Engineering, Logistics, and Training Solutions (BELTS), Muhammad Noh Bin Haji Madali kepada Tetamu Kehormat, diikuti dengan tayangan video korporat dan demonstrasi ’Live’ operasi bot pemintas.
Sebagai simbol kesiapsiagaan, keberanian dan semangat juang pasukan keselamatan maritim negara, pentauliahan ICB ini akan memperkukuhkan lagi peranan Polis Marin sebagai barisan hadapan dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.




Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
