KUALA BELAIT, Khamis, 29 Mei 2025 – Seorang warganegara asing yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian ‘Macau Scam’ telah berjaya diberkas oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada 21 Mac lalu, hasil usaha berterusan dan penyiasatan menyeluruh oleh Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ). 

Beberapa kes penipuan dalam talian telah dilaporkan di mana suspek menyamar sebagai pegawai bank atau polis untuk menipu mangsa. Modus operandi kes ini adalah mangsa akan dihubungi dan dimaklumkan kononnya mereka terlibat dalam hutang kad kredit atau aktiviti pengubahan wang haram. Suspek kemudian memperdaya mangsa untuk membuat pemindahan wang secara dalam talian atau menyerahkan wang tunai kepada individu yang tidak dikenali. 

Setakat ini, lebih daripada 50 kes telah dilaporkan dan disiasat oleh BSJS. Sindiket ini telah menyebabkan kerugian melebihi BND1 juta kepada mangsa-mangsa tempatan. Mengesan, membongkar dan mendakwa rangkaian sindiket ini telah menjadi fokus utama BSJS yang kini terus giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dan menjejak suspek-suspek lain. 

Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah pada 17 Mei 2025 bagi menghadapi sembilan (9) pertuduhan jenayah. Pendakwaan telah dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Emily Goh dan Mohammad Syafi’e Mirhan di bawah Seksyen 420 dan 109 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 serta Perintah Mengembalikan Aset Jenayah 2012 atas kesalahan penggubahan wang haram. Majistret Nur Eleana binti Dato Seri Paduka Haji Hairol telah menjatuhkan hukuman penjara maksimum selama tujuh (7) tahun ke atas suspek. 

Sebagai sebahagian daripada tindakan susulan, Unit Interpol PPDB kini sedang menggiatkan usaha kerjasama dengan agensi luar negara untuk menjejaki dan membawa pulang suspek-suspek lain yang dipercayai masih bebas di luar negara. PPDB komited untuk memastikan keseluruhan rangkaian sindiket ini dapat dibanteras secara menyeluruh. 

PPDB turut menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan atau mesej yang meminta maklumat peribadi atau kewangan. Penipuan dalam talian kini semakin canggih dan menyasarkan mangsa secara agresif. Masyarakat dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang transaksi kewangan tanpa pengesahan sah daripada pihak berkuasa atau institusi kewangan rasmi. 

Sebarang aktiviti atau panggilan yang mencurigakan hendaklah segera dilaporkan kepada pihak polis. 2 Usaha berterusan PPDB dalam membanteras jenayah siber mencerminkan komitmen teguh pasukan keselamatan negara dalam melindungi rakyat dan memastikan keadilan ditegakkan tanpa kompromi. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI