GADONG, Ahad, 15 Disember 2024 – Delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menghadiri dua bengkel iaitu ASEAN Workshop on International Legal Cooperation (ILC) in Trafficking in Persons (TIP) dan ASEAN Workshop on the Proposed Establishment of an ASEAN Network of Prosecutors to Counter Trafficking in Persons yang terdiri daripada Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Keadilan Jenayah di Pejabat Peguam Negara, Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia di Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jabatan Buruh sebagai wakil Jawatankuasa Kerja Kebangsaan bagi Antipemerdagangan Orang. Bengkel ini telah diadakan dari 11 hingga 13 Disember 2024 yang dianjurkan oleh ASEAN Senior Officials Meeting on Transnational Crime (SOMTC) dengan kerjasama ASEAN—Australia Counter Trafficking Program (ASEAN-ACT) dan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC).
Objektif bengkel ASEAN Workshop on International Legal Cooperation (ILC) Trafficking in Persons (TIP) adalah untuk membentangkan dan membincangkan draf terkini ASEAN Compendium on International Legal Cooperation on Trafficking in Persons Cases bagi mengemaskinikan buku panduan tersebut yang mana negara ASEAN boleh menjadikannya sebagai garispanduan. Manakala, objektif bengkel ASEAN Workshop on the Proposed Establishment of an ASEAN Network of Prosecutors to Counter Trafficking in Persons adalah untuk menerokai platform yang bersesuaian kepada SOMTC, pendakwa raya dan Badan Sektoral ASEAN yang berkaitan untuk meneroka kemungkinan dalam mewujudkan rangkaian atau platform serantau bagi pendakwa raya untuk memerangi pemerdagangan orang (TIP) di ASEAN.
Bengkel ini telah memberikan peluang di antara agensi penguatkuasaan dan pendakwa raya dalam menangani kes pemerdagangan orang di negara ASEAN untuk meneroka kerjasama, bertukar-tukar pandangan dan maklumat, serta mempelajari amalan baik di rantau ASEAN dan antarabangsa.
Dalam hal ini, Jawatankuasa Kerja Kebangsaan Anti-Pemerdagangan Orang sentiasa komited terhadap usaha berterusan untuk mencegah dan menentang ancaman pemerdagangan manusia di Negara Brunei Darussalam. Jawatankuasa Kerja Kebangsaan juga akan terus mengamalkan pendekatan secara victim centric ke atas golongan yang berisiko terhadap jenayah pemerdagangan orang.
