BERAKAS, Jumaat 7 Julai 2023 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Unit Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah telah berhasil menahan empat (4) orang individu yang dipercayai terlibat dengan laporan kes jenayah dipercayai rompak secara berkumpulan yang berlaku di Kawasan Kg Sungai Hanching, Berakas, Daerah Brunei Muara.
Dalam kejadian yang berlaku pada sekitar waktu awal pagi 03 Julai 2023 itu, seorang warga asing yang merupakan mangsa kejadian telah membuat perundingan bersama seorang individu yang tidak dikenali melalui pengiklanan jual beli barang di aplikasi media sosial facebook. Adapun perundingan tersebut adalah bagi jual beli telefon bimbit yang dimiliki si penjual (suspek) dan seterusnya membuat temu janji bagi perundingan lanjut dibuat di rumah kediaman mangsa.
Semasa berada di luar rumah mangsa, mangsa telah didatangi oleh tiga (3) orang individu dipercayai si penjual telefon bimbit. Selang seketika, perundingan jual beli telah gagal di mana mangsa tidak berpuas hati dengan telefon bimbit yang dijual kerana didapati ada sedikit kerosakan.
Mangsa yang tidak berhasrat untuk meneruskan pembelian, tiba-tiba telah diserang oleh seorang individu lain dipercayai dipukul di bahagian belakang kepala dengan benda yang keras mengakibatkan mangsa pengsan dan tidak sedarkan diri.
Setelah mangsa sedar, lalu menyedari bahawa sejumlah wang dan telefon bimbit miliknya telah hilang dipercayai dicuri semasa mangsa tidak sedarkan diri.
Berikutan dengan insiden berkenaan, mangsa segera melaporkan kejadian tersebut ke Balai Polis Berakas bagi tindakan siasatan dengan segera.
Berikutan dengan laporan kejadian tersebut, Unit Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah telah dikerah bagi mengambil alih siasatan dan telah berjaya membuat penahanan ke atas 4 orang suspek dipercayai mempunyai keterlibatan dengan insiden berkenaan.
Tiga (3) orang suspek adalah lelaki warganegara tempatan dan seorang perempuan penduduk tetap berumur sekitar 21 – 44 tahun dan ketika ini ditahan bagi siasatan lanjut pihak polis.
Kes ini disiasat di bawah;
B2 – Seksyen 324 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu dengan senghaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
B3 – Seksyen 378 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu curi.
B4 – Seksyen 411 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu secara tidak jujur menerima harta curi.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin mengingatkan dan menegaskan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dan pastikan keselamatan apabila membuat urusan jual beli melalui platform media sosial kerana ianya mungkin sahaja perangkap yang akan mendatangkan kerugian.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
