GADONG, Ahad 11 Jun 2023 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan, Jabatan Siasatan Jenayah Gadong telah berjaya menahan 7 orang suspek lelaki yang terlibat dengan kegiatan sindiket penipuan melalui panggilan telefon. Suspek-suspek berkenaan adalah 4 orang warga tempatan, 2 orang penduduk tetap dan 1 orang warga asing, berumur dalam lingkungan 28 hingga 53 tahun. PPDB turut merampas peralatan yang digunakan untuk aktiviti jenayah ini, di antaranya adalah 9 telefon bimbit bagi membantu siasatan.
Antara lain, modus operandi kes ini adalah dengan menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dan pemanggil akan menyamar sebagai pegawai bank atau pegawai dari Brunei Darussalam Central Bank (BDCB). Pemanggil seterusnya akan menakutkan dan membuat mangsa panik dengan menyatakan bahawa mangsa didapati membuat transaksi yang banyak dan seterusnya meminta pengesahan mangsa terhadap transaksi-transaksi berkenaan. Pemanggil seterusnya akan memberikan arahan untuk mangsa memberikan maklumat peribadi seperti maklumat ID pengguna dan kata laluan perbankan atas talian mangsa. Pemanggil juga akan mengarahkan untuk memadam aplikasi perbankan mangsa dan tidak membuat apa-apa panggilan kepada sesiapa. Aplikasi Telegram sering digunakan sebagai kemudahan komunikasi scammer untuk berhubung dengan mangsa agar tidak dapat dijejaki setelah wang di dalam akaun mangsa telah berjaya dipindahkan. Kejadian ini baru dilaporkan pada bulan Mei lalu dan jumlah kerugian mangsa sindiket scammer ini sudah mencecah BND253,900.00.
Siasatan mendapati suspek-suspek yang ditahan adalah pemilik-pemilik akaun perniagaan yang menerima wang mangsa, orang tengah yang mencari pemilik-pemilik akaun perniagaan dan juga mengutip wang tunai jenayah dari pemilik akaun. Menurut suspek-suspek ini, mereka mendapat keuntungan komisi sebanyak 3 – 4 peratus daripada hasil wang jenayah tersebut. Beberapa suspek masih dalam pencarian dan polis masih lagi giat dan aktif menyiasat kes ini.
Oleh yang demikian, pihak PPDB ingin menasihatkan kepada orang awam supaya tidak mudah terpedaya dengan promosi-promosi seperti mendapat keuntungan jika menyewakan akaun bank. Jika didapati atau ditangkap, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 3, Pengubahan Wang Haram, Perintah Mengembalikan Aset Jenayah, 2012 yang membawa kepada hukuman denda tidak melebihi $500,000.00, pemenjaraan untuk suatu tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, dan jika kes melibatkan badan koperat, denda dikenakan adalah tidak melebihi $1,000,000.00.
Dan juga jika didapati menyewakan atau mendaftarkan sim kad talian kepada orang lain atau orang yang tidak dikenali, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 417, Menipu yang boleh dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun dan denda.
PPDB sekali lagi ingin menasihatkan kepada orang ramai agar lebih berwaspada dan berhati-hati agar tidak menerima panggilan yang tidak dikenali atau memuat naik apa-apa pautan yang diperolehi daripada iklan di media sosial atau pihak tidak dikenali. Jika terjadi, adalah dinasihatkan untuk menghubungi talian ‘hotline’ perbankan atau masuk ke perbankan atas talian anda untuk “de-activate” secepatnya dan seterusnya meghubungi pihak polis untuk membuat laporan. Selain itu orang ramai juga dinasihatkan untuk berhati-hati apabila menggunakan Wifi awam yang tidak diketahui keselamatannya bagi menghindari daripada digodam.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
