KUALA BELAIT , Sabtu 6 April 2019 – Dua tangkapan telah dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Kuala Belait terhadap dua orang wanita warganegara tempatan kerana telah terlibat dalam satu kes penipuan melalui penyamaran serta memalsukan dokumen kerajaan. 

Hasil daripada laporan yang diterima daripada pihak Polis, mangsa merupakan seorang lelaki berumur 85 tahun dan telah ditipu berulang kali mengenai urusan pengeluaran duit pelaburan saham dinar.  

Menurut mangsa lagi, suspek telah menipu mangsa dengan mengenalkan dirinya dengan menggunakan identiti palsu, mangsa juga  pernah menerima surat yang diberikan oleh suspek yang ditandatangani oleh Pengarah Autoriti Monetori Brunei Darussalam dan surat tersebut turut mengandungi cop Mahkamah Besar dipercayai digunting dan dilekatkan dengan tajuk persuratan Pembayaran Besi Cukai Saham. 

Suspek pertama bernama Vivi Yanti bte Mohd Jali berumur 37 tahun dan tidak bekerja. Suspek ditahan oleh pihak Polis pada 1 April 2019 di kawasan Wisma Yakin Pandan 5 Kuala Belait semasa suspek sedang membuat urusan dengan mangsa.  

Setakat ini, setelah disiasat suspek telah berjaya mendapatkan wang berjumlah 6 ribu daripada mangsa. 

Manakala suspek kedua merupakan seorang kakitangan kerajaaan di Jabatan Kerja Raya bernama Norhanah bte Ismail berumur 56 tahun dan telah ditahan pada 4 April 2019. Suspek ditahan kerana dipercayai telah membantu dan menerima arahan dari suspek pertama untuk membuat surat tersebut dengan menggunakan komputer pejabat. 

Kedua-dua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan pada 6 April 2019 untuk didakwa di bawah Seksyen 420 dan 471 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 kerana Menipu dan menggunakan dokumen palsu sebagai dokumen tulen. 

Pihak Mahkamah telah membuat keputusan bagi tertuduh pertama Vivi Yanti bte Hj Mohd Jali dilepaskan dengan ikat jamin Mahkamah. Manakala tertuduh kedua Norhanah Bte Ismail dilepaskan dengan ikat jamin polis. Tarikh sebutan semula perbicaraan akan berlangsung pada bulan Ogos 2019 di Mahkamah Majistret, Kuala Belait. 

Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menasihatkan agar masyarakat lebih peka dan berhati-hati dalam mengesan mana-mana perlakuan yang mencurigakan dari segi urusan-urusan terutama yang membabitkan wang agar tidak terpedaya dengan penipuan. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI