BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 30 Mac 2019 – Berhubung kes rogol oleh bapa kandung di bawah Seksyen 376(2)(c) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang telah dilaporkan pada 21 Mac 2019 lepas, kes tersebut telah disebut semula di Mahkamah Majistret pada 30 Mac 2019, di mana Mahkamah Majistret telah memerintahkan tertuduh ditahan reman selama 7 hari untuk siasatan lanjut.
Berikutan perkongsian kes ini di media massa, Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah telah menerima 2 lagi kes gangguan seksual yang juga melibatkan anak kandung yang diganggu secara seksual oleh bapa kandung mereka sendiri.
Tangkapan juga telah dibuat ke atas kedua-dua kes terbaru ini dan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret dimana pelaku kepada kedua-dua kes telah diperintahkan untuk ditahan reman bagi siasatan lanjut.
Alhamdulillah ini menunjukkan kesedaran dari masyarakat dan juga komitmen Pasukan Polis Diraja Brunei dalam membanteras mana-mana keganasan termasuk keganasan seksual terhadap wanita apatah lagi yang dilakukan oleh ahli keluarga sendiri.
Sekali lagi pihak Polis ingin mengambil kesempatan ini untuk menyarankan semua masyarakat untuk tampil ke hadapan dan melaporkan mana-mana jenis keganasan termasuk penderaan fisikal atau seksual, jika ianya terjadi kepada biskita atau orang yang biskita kenali.
Jangan menjadi mangsa atau saksi bisu dan membiarkan ianya terjadi kerana laporan yang dibuat ke pihak polis adalah bertujuan untuk menghentikan keganasan itu dari berterusan dan menyelamatkan mangsa yang terlibat.
Oleh itu sekali lagi orang ramai adalah amat digalakkan dan mengalu-alukan untuk melaporkan apa jua maklumat yang diterima mengenai perkara seperti ini dan melaporkannya dengan segera kepada pihak Polis di talian kecemasan ‘993’ ataupun di mana-mana Balai-Balai Polis yang berdekatan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
