BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa 30 April 2019 – Pada 18 dan 19 April 2019, Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei telah berjaya menahan 2 orang suspek warganegara tempatan yang terlibat dalam beberapa kes curi di beberapa tempat yang berasingan di rumah kediaman beserta bangunan premis perniagaan di kawasan Berakas, Daerah Brunei Muara.
Pada 20 April 2019, kedua-dua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan dan pihak Mahkamah telah meluluskan bagi permohonan reman selama 4 hari bagi menjejaki 3 lagi suspek yang dikehendaki dan dipercayai terlibat dengan kes-kes tersebut.
Semasa tempoh reman berjalan, pihak Polis telah berjaya menahan 3 suspek berkenaan di mana 2 daripadanya adalah warganegara tempatan dan seorang lagi warganegara Indonesia yang dipercayai pas pekerja mansuh sejak tahun 2014.
Kesemua tertuduh sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 iaitu Curi dan di bawah Seksyen 380 Curi dalam Bangunan Kanun Hukuman Jenayah penggal 22.
1- Tertuduh pertama : Awangku Abdul Malek bin Pg Idrus berumur 25 tahun tidak bekerja telah mengaku bersalah dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 30 bulan di Penjara Maraburong bermula 29 April 2019.
2- Suspek kedua : Abdul Wafi bin Abdul Wahab berumur 33 tahun tidak mengaku bersalah dan tarikh perbicaraan lanjut pada 11 Mei 2019.
3- Suspek ketiga : Khoirul Ariffin bin Sarinem, warganegara Indonesia berumur 33 tahun bekerja sebagai buruh mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan dan 3 kali sebatan yang bermula 27 April 2019.
4- Suspek keempat : Mohammad Azriyadi bin Haji Salamat berumur 35 tahun tidak bekerja telah tidak mengaku bersalah dan tarikh perbicaraan lanjut pada 14 Mei 2019.
5- Suspek kelima : Abdul Sallehi bin Haji Mohamad berumur 43 tahun tidak mempunyai sebarang pekerjaan telah tidak mengaku bersalah dan tarikh perbicaraan lanjut pada 14 Mei 2019.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menyeru dan menasihatkan kepada orang ramai agar tampil bagi mengongsikan sebarang maklumat bagi tujuan pencegahan dan pembanterasan ke talian kecemasan polis 993 dan ke balai-balai yang berdekatan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
