TEMBURONG, Selasa, 30 Disember 2025 – Daerah Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah melaksanakan satu Operasi Sepadu yang bermula sekitar jam 11.00 malam, bertujuan memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang serta membanteras aktiviti menyalahi undang-undang di Daerah Temburong.

Operasi tersebut diketuai oleh Pemangku Pegawai Jenayah Daerah (DCO) Temburong, Inspektor Md Hadri, dengan penglibatan seramai 23 orang anggota PPDB Daerah Polis Temburong. Operasi ini turut dijalankan secara bersepadu bersama 22 orang anggota daripada agensi-agensi penguatkuasaan lain, iaitu Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) serta Bahagian Penguatkuasaan Ugama (BPU).

Sepanjang operasi berlangsung, pemeriksaan dan pemantauan telah dilaksanakan di tiga (3) lokasi utama, iaitu di kawasan-kawasan Kampung Menengah, Jalan Bangar–Puni–Hujung Jalan, serta Kampung Belais, yang dikenal pasti sebagai tumpuan bagi aktiviti mencurigakan.

Hasil daripada operasi tersebut, seramai lima orang lelaki telah ditahan, terdiri daripada empat orang warganegara tempatan dan seorang penduduk tetap, atas dua kesalahan berasingan. Daripada jumlah tersebut, tiga orang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam dan Eksais Diraja, melibatkan perjumpaan barang tegahan iaitu 13 paket rokok pelbagai jenama. Sementara itu, dua orang lagi ditahan kerana disyaki memiliki alat dan peralatan berkaitan penyalahgunaan dadah di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) Penggal 27, serta kesalahan lain yang berada di bawah bidang kuasa Biro Kawalan Narkotik (BKN).

Kesemua suspek bersama barang-barang tegahan dan rampasan telah diserahkan kepada JKED dan BKN bagi tujuan siasatan lanjut dan tindakan selanjutnya.

Pasukan Polis Diraja Brunei menegaskan komitmen berterusan untuk melaksanakan operasi penguatkuasaan secara bersepadu dan berterusan, sebagai langkah proaktif dalam membanteras aktiviti jenayah serta memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI