BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 28 Sept 2019 – Hasil daripada bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kegiatan curi yang dilakukan oleh tiga (3) orang wanita warga tempatan di salah sebuah gedung membeli belah di Kg Mentiri membawa padah bilamana kesemua suspek tersebut telah berjaya ditahan dan seterusnya dihadapkan ke muka pengadilan.
Perkara ini terbongkar apabila pekerja gedung tersebut telah diarahkan oleh pihak pengurusan untuk menyaksikan kembali ulang tayang rakaman CCTV dan mendapati kelibat 3 orang wanita telah mengambil beberapa barang wangian badan daripada rak penyimpanan lalu memasukkannya ke dalam beg mereka tanpa membuat sebarang pembayaran.
Sejurus insiden tersebut diketahui, Pihak Pengurusan gedung segera melaporkan kejadian tersebut ke Balai Polis Muara pada 21 September 2019 bagi tindakan siasatan.
Keanggotaan Balai Polis Muara telah berhasil menahan kesemua suspek pada 26 September 2019 dan berhasil menemukan kembali barangan yang telah dicuri di gedung berkenaan bagi tujuan pembuktian.
Suspek pertama bernama Nurhasleen binti Mazlan berumur 18 tahun, suspek kedua Nur Afikah binti Zainuddin berumur 19 tahun dan suspek ketiga Sufiana binti Hj Md Yussof berumur 33 tahun.
Kesemua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 28 September 2019 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu curi.
Atas perintah mahkamah kesemua tertuduh telah dijatuhkan hukuman dengan membayar denda sebanyak BND$650 setiap seorang dalam masa satu (1) bulan dan jika gagal membuat pembayaran akan dihukum pemenjaraan selama tempoh 1 bulan.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menasihatkan orang ramai agar jangan terpengaruh atau meneruskan hasrat untuk melakukan sebarang kegiatan jenayah yang melanggar undang-undang kerana akibatnya akan mendatangkan kerugian, maruah tergadai dan malap masa hadapan.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
