TUTONG, Sabtu 2 Nov 2019 – Kolaborasi daripada 7 agensi penguatkuasa undang-undang di negara ini telah berhasil mengendalikan satu operasi bersepadu yang telah mensasarkan 2 lokasi rumah kediaman pekerja asing di bawah tadahan Daerah Tutong pada malam 2 November 2019. 

Operasi bersepadu tersebut telah menurunkan seramai 113 orang keanggotaan dan ahli melibatkan Daerah Polis Tutong Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) dan Jabatan Buruh yang diketuai oleh Pegawai Siasatan Jenayah Daerah Polis, Penolong Penguasa Polis (ASP) Shamsulariffin Bin Haji Abd Wahab. 

Operasi pemeriksaan mengejut itu telah dijalankan ke lokasi sasaran pertama iaitu di kawasan No 61, Jalan Lubok Meranti Tutong dan telah mendapati beberapa kesalahan melibatkan :  

BKN – 2 orang warga tempatan ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan seorang perempuan kerana dipercayai memiliki peralatan dadah. 

JKED – 2 orang warga Indonesia ditahan kerana memiliki 5 karton rokok jenis Djarum dan 2 karton rokok ERA. 

JIPK – 1 pas khas dikeluarkan ke atas 2 orang warga Indonesia untuk tindakan. 

Manakala sasaran lokasi kedua dijalankan  di kawasan No 184, Kg Lubuk Pulau, Tutong dan menemukan satu (1) kesalahan di bawah akta JKED – rampasan 1 karton dan 3 paket rokok jenama Premium Intl dan 4 paket rokok jenama Era Premium dan satu botol minuman keras jenama Label 5. 

PPDB ingin memohon dan menasihati kepada orang ramai agar sentiasa memberi kerjasama yang padu dalam penyaluran maklumat berkaitan jenayah kepada agensi-agensi penguatkuasa undang-undang di negara ini bagi tindakan sewajarnya dan ini juga membuktikan bahawa kerajaan sangat mengambil berat dan amat serius dalam perihal pencegahan dan pembanterasan apa jua kegiatan jenayah dan perlanggaran undang-undang di negara ini bagi memastikan rakyat dan penduduk sentiasa dalam keadaan selesa, aman dan harmoni. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI