BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 30 Sept 2019 – Dua (2) orang lelaki warga tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan atas kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu dengan senghaja menyebabkan cedera dengan senjata atau benda yang merbahaya. 

Tertuduh pertama bernama Abdul Rahim bin Abd Rahman, 24 tahun dan tertuduh kedua Ak Mohammad Eaddyzul Amirzan Firdaus bin Pg Abd Wahap, 21 tahun. Kedua-dua tertuduh bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di sebuah syarikat swasta. 

Pada 24 September 2019, Balai Polis Pusat BSB telah menerima laporan berhubung satu kes pukul yang melibatkan seorang mangsa lelaki berumur 23 tahun. Hasil siasatan daripada Pihak Polis dan mendapati kedua-dua tertuduh telah mengaku memukul mangsa di kawasan letak kereta berdekatan Masjid Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong. 

Menurut mangsa lagi, mangsa juga telah dipukul berkali-kali oleh kedua-dua tertuduh dengan menggunakan 1 benda keras dipercayai cota besi. Mangsa dipukul disebabkan tertuduh pertama telah mensyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isteri tertuduh. 

Kedua-dua tertuduh telah mengaku bersalah dan pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan kepada tertuduh pertama selama 10 bulan dan 1 kali sebatan manakala tertuduh kedua dihukum penjara selama 4 bulan. Tarikh hukuman bermula pada 25 September 2019. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI