BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 21 Ogos 2019 – Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menahan tiga orang suspek terdiri dari seorang warga tempatan dan dua orang penduduk tetap yang dipercayai terlibat dalam kes curi di dua tempat berasingan di kawasan Kuala Belait.
Kes pertama, tertuduh ialah Hasbollah bin Husaini berumur 38 tahun dan tidak bekerja telah dipercayai mengambil satu unit alat penghawa dingin yang diletakkan di garaj luar kawasan rumah di alamat Jalan Pemancha Kuala Belait.
Perbuatan jenayah tersebut berjaya dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup CCTV dan tertuduh mengakui ada mengambil alat penghawa dingin tersebut untuk dijual semula sebanyak BND$10 bagi tujuan membeli barang keperluannya.
Pada hari ini 21 Ogos 2019, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret , Bandar Seri Begawan atas kesalahan curi di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan telah mengaku bersalah. Pihak Mahkamah telah menetapkan bagi tarikh 26 Ogos 2019 bagi jatuh hukum.

Kes kedua pada 16 Ogos 2019 di salah satu tempat kawasan binaan di Jalan Lorong Setia Diraja Kuala Belait, satu aduan telah dibuat yang mana dua orang lelaki yang dicurigai telah memasuki kawasan tersebut dan mengambil beberapa kepingan besi kemudian dimasukkan ke dalam bonet kereta milik suspek.
Hasil siasatan melalui pendaftaran kereta yang disyaki berjaya menahan dua orang suspek berbangsa Cina. Suspek pertama bernama Chong Jih Chau, 38 tahun dan suspek kedua bernama Kong Kok Ming, 35 tahun. Kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Kedua-dua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan dan hasil sebutan kes Pihak Mahkamah telah meluluskan permohonan reman bagi siasatan lanjut sehingga tarikh perbicaraan selanjutnya pada 22 Ogos 2019.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menegaskan kepada orang awam bahawa pihak polis tidak akan teragak-agak dalam mengambil tindakan tegas dan akan menghadapkan ke muka pengadilan kepada sebarang individu atau kumpulan yang melibatkan diri dengan kegiatan jenayah di negara ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
