BERAKAS, Selasa 23 April – Pada 19 April 2019, Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima dua (2) laporan kes jenayah yang berasingan dan seterusnya membawa kepada penahanan serta-merta dua (2) orang suspek kes-kes berkenaan.
Laporan pertama melibatkan Kes Pecah Amanah yang disiasat di bawah Seksyen 406 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang dilaporkan oleh salah sebuah syarikat restoran makanan segera. Dalam kes ini seorang suspek wanita warganegara Malaysia bernama Paula Kathy Meran berumur 32 tahun telah ditahan dan dijalankan siasatan melibatkan wang syarikat berjumlah BND$ 2902.75 yang telah digunakan suspek untuk kegunaan persendirian dan membayar hutang.

Laporan kedua melibatkan Kes Curi yang disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang melibatkan kecurian 5 biji tayar beserta dengan rim yang telah dilaporkan oleh salah sebuah bengkel membaiki kereta di kawasan Perindustrian Kampong Anggerek Desa. Dalam kes ini seorang lelaki warga tempatan bernama Endy Sumardi bin Ibrahim berumur 34 tahun telah dilaporkan terlibat dalam kejadian ini.
Pada 22 April 2019 , kedua-dua tertuduh telah dijatuhkan hukuman di Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan.
Tertuduh bernama Paula Kathy Meran mengaku bersalah atas pertuduhan Pecah Amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 12 bulan yang bermula pada tarikh 20 April 2019.
Tertuduh bernama Endy Sumardi bin Ibrahim telah mengaku bersalah atas pertuduhan Curi di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 1 bulan yang bermula pada tarikh 20 April 2019.
Dalam pada itu, Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling masing-masing dan melaporkan dengan serta merta sebarang aktiviti-aktiviti yang mencurigakan kepada pihak polis sama ada melalui talian kecemasan polis 993 atau pun mana-mana balai polis yang berdekatan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
