TUTONG, Khamis 29 Mei 2025 – Sebanyak 13 buah kenderaan telah dikeluarkan denda Kompaun Trafik di kawasan Jalan Bukit Barun, Daerah Tutong dalam satu operasi sepadu yang dijalankan pada 29 Mei 2025. 

Operasi berkenaan melibatkan pegawai dan keanggotaan daripada Balai Polis Lamunin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) , Biro Kawalan Narkotik (BKN) yang diketuai oleh Pegawai Lalulintas Daerah Polis Tutong. 

Secara keseluruhan, operasi tersebut telah memeriksa sebanyak 205 buah kenderaan di kawasan berkenaan. Di antara kesalahan-kesalahan yang didapati oleh PPDB dan JPD adalah seperti cukai jalan mansuh ,memasang tabir, memandu kenderaan yang tidak layak dari segi keselamatannya ,tayar botak dan beberapa kesalahan lagi. JKED mendapati satu kesalahan dan telah di ambil tindakan iaitu memiliki rokok yang merupakan barang tegahan kastam. Manakala BKN mendapati satu kesalahan penyalahgunaan dadah. 

Operasi sepadu ini dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif PPDB dan agensi-agensi penguatkuasaan yang terlibat untuk mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan undang-undang negara. Para pemandu dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap keadaan kenderaan masing-masing, memastikan ia berada dalam keadaan baik dan selamat untuk dipandu. Kerjasama dan tanggungjawab semua pihak amat penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI