TUTONG, Selasa 26 Februari 2019 – Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima maklumat berkenaan suspek yang disyaki terlibat dengan beberapa kes pecah rumah dan curi di kawasan Perumahan Bukit Beruang, Daerah Tutong. 

Dengan maklumat tersebut, keanggotaan Balai Polis Tutong telah berjaya menahan 3 orang suspek lelaki yang terdiri dari 2 warganegara tempatan dan seorang (1) penduduk tetap iaitu; 

1) Ak Muhammad Nazri bin Pg Mohd Jasni (30 thn) 

2) Nelson Mancha anak Po (25 thn) 

3) Mohammad Nazmenizam bin Abdullah (20 thn) 

Pertuduhan terhadap ketiga-tiga suspek dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22, iaitu curi dalam rumah yang boleh dihukum penjara selama suatu tempoh yang tidak melebihi 7 tahun dan juga denda. 

Hasil dengan penangkapan ini, Pihak Polis khususnya Daerah Polis Tutong telah berjaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah dan curi yang dilaporkan di kawasan tersebut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei juga berharap mana-mana saksi atau orang ramai yang telah menjadi mangsa berhubung kes curi di kawasan Perumahan Bukit Beruang dapat tampil ke hadapan dan membuat laporan ke Balai Polis berdekatan atau menelefon talian ke talian 993. 

Di kesempatan ini, PPDB ingin menasihati kepada orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang di Negara Brunei Darussalam. 

PPDB juga menyeru kepada orang ramai agar dapat memberikan kerjasama yang padu dalam mengongsikan maklumat tentang apa jua aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang. Maklumat berkenaan boleh disalurkan ke mana-mana balai polis yang berdekatan atau ke talian hotline polis 993. 

PPDB akan sentiasa memantau dan memastikan kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang dibendung dan dibenteras. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI