GADONG, Sabtu, 1 Ogos
-
Seluruh pegawai dan anggota pangkat rendah Pasukan Polis Diraja
Brunei (PDB) diingatkan supaya mengelakkan diri mereka dari rasuah
kerana ia mudah berlaku dan merupakan satu peluang untuk mendapatkan
keuntungan dengan cara mudah lebih-lebih lagi semasa berhadapan
dengan orang awam ketika menjalankan sesuatu tindakan undang-undang.
(Foto
: Ak. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali)
TIMBALAN Pesuruhjaya Polis (Operasi), Yang Dimuliakan Pehin Orang
Kaya Pendikar Alam Hj Hasrin bin Dato Paduka Hj Sabtu menyampaikan
Surat Perlantikan Kenaikan Pangkat Bagi Anggota-anggota Pangkat
Rendah Jabatan Gerakan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis (Operasi), Yang Dimuliakan Pehin Orang
Kaya Pendikar Alam Awang Haji Hasrin mengingatkan perkara tersebut
di Majlis Penyampaian Surat Perlantikan Kenaikan Pangkat
Anggota-anggota Pangkat Rendah Jabatan Gerakan Pasukan PDB hari ini
di Dewan Persidangan Ibu Pejabat Polis.
"Mereka mudah sahaja dirunding oleh pihak yang akan diambil tindakan
undang-undang atau mereka sendiri membuka peluang untuk
menyelesaikan kesalahan undang-undang yang telah dilakukan dengan
meminta sejumlah wang untuk kepentingan diri anggota polis yang
berkenaan,”jelasnya.
Pasukan PDB tegasnya, tidak akan bertolak ansur jika perkara itu
terjadi yang mana tindakan disiplin yang keras dan tegas akan
dikenakan kepada anggota polis yang terlibat dengan rasuah.
(Foto : Ak. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali)
TIMBALAN Pesuruhjaya Polis (Operasi), Yang Dimuliakan Pehin Orang
Kaya Pendikar Alam Hj Hasrin bin Dato Paduka Hj Sabtu ketika berucap
di Majlis Penyampaian Surat Perlantikan Kenaikan Pangkat Bagi
Anggota-anggota Pangkat Rendah Jabatan Gerakan.
Di majlis tersebut, Timbalan Pesuruhjaya Polis (Operasi), telah
menyampaikan surat perlantikan kenaikan pangkat kepada 95 orang
anggota pangkat rendah Jabatan Gerakan yang meliputi kenaikan
pangkat anggota polis biasa iaitu dari pangkat Mata-mata Kelas
Pertama ke pangkat Lans Koperal dan kenaikan pangkat anggota Polis
Tambahan dari pangkat APO ke APO Lans Koperal, Koperal ke Sarjan,
Sarjan ke Staf Sarjan dan seterusnya APO Staf Sarjan ke APO Sarjan
Mejar.
Kriteria atau syarat-syarat kenaikan pangkat mestilah memenuhi
syarat-syarat yang tertentu dengan mengambilkira kebolehan,
kemampuan membuat sesuatu tugas dan arahan yang diberikan.
(Oleh : Bolhassan Haji Abu Bakar)