BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat -
Penjualan 'rokok elektronik' di
negara ini adalah satu kesalahan
di bawah Seksyen 6, Perintah
Tembakau 2005, Larangan Ke atas
Penjualan Produk Tembakau Tiruan.
Imam dalam Khutbah Jumaat hari
ini menegaskan, sesiapa yang
sabit kesalahan membawa masuk,
menjual atau menawarkan untuk
jualan sebarang produk yang
menyerupai suatu produk tembakau
boleh didenda sehingga $10,000.
Imam menyentuh perkara di atas
berikutan penciptaan alat-alat
baru dan canggih yang mengaburi
mata pengguna dengan dakwaan
kononnya produk berkenaan lebih
baik dari segi kesihatan dan
antara alat yang dimaksudkan itu
adalah 'rokok elektronik'.
Menurut imam, industri tembakau
sebenarnya menyedari akan
kemudaratan rokok dan produk
tembakau, namun, untuk
memastikan keuntungan mereka
berterusan dan perniagaan mereka
tidak rugi, mereka sekarang
semakin bijak menarik minat
perokok untuk terus merokok
seperti penciptaan alat-alat
baru dan canggih berkenaan.
Sehubungan itu, imam sekali lagi
mengingati orang ramai supaya
menjauhi dan meninggalkan
perkara penggunaan tembakau
seperti rokok, shisha dan
seumpamanya kerana semua itu
mendatangkan mudarat.
Bahaya menggunakan tembakau
bukan sedikit dan boleh membawa
maut, selain bukan saja
melibatkan diri sendiri bahkan
orang lain, demikian imam
mengingatkan.
Imam menegaskan, jika semua
orang menjaga kesihatan, insya-Allah
kita semua terhindar daripada
penyakit kronik, sekali gus
dapat menjimatkan wang kerajaan
kerana kos penjagaan kesihatan
yang berkaitan dengan penyakit
berkenaan adalah sangat tinggi.
"Bagi tahun 2008 saja, pihak
kerajaan membelanjakan $20.7
juta iaitu kira-kira 51 peratus
daripada keseluruhan
perbelanjaan ubat-ubatan bagi
penyakit-penyakit kronik
khususnya penyakit jantung,
barah dan kencing manis.
Jumlah itu tidak termasuk
perbelanjaan rawatan lain
seperti kos rawatan hospital,
kos rawatan intensif, kos
pembedahan, kos rawatan rujukan
dan kos penghantaran pesakit
keluar negara, tambah imam.
"Sememangnya rokok atau
penggunaan tembakau adalah
antara penyebab beberapa jenis
penyakit kronik seperti barah,
paru-paru, jantung dan
sebagainya sebagaimana sebuah
kajian menunjukkan penggunaan
tembakau adalah penyebab
kematian bagi 4 juta orang di
dunia pada setiap tahun (bersamaan
dengan 1 kematian setiap 10 saat)."
Brunei mempunyai undang-undang
yang mengawal pembekalan,
penjualan, penggunaan dan
pengiklanan produk tembakau
iaitu Perintah Tembakau 2005
yang meliputi larangan
penggunaan produk tembakau atau
merokok di tempat-tempat awam,
ujar imam. Imam menerangkan lagi,
sebagaimana yang diperuntukkan
di dalam perintah berkenaan dan
peraturannya, sesiapa yang sabit
kesalahan merokok di
tempat-tempat awam boleh didenda
tidak lebih dari $1,000."
"Walaupun pihak kerajaan melalui
Jabatan Perdana Menteri
mengisytiharkan semua bangunan
kementerian dan jabatan kerajaan
sebagai tempat ditegah merokok,
kaji selidik Kementerian
Kesihatan pada penghujung 2009
mendapati 14 bangunan dari 41
bangunan yang dilawati tidak
mempamerkan sebarang notis
larangan merokok."
Lebih mendukacitakan lagi,
puntung rokok ditemui di 38
bangunan kerajaan yang dilawati.
Malah terdapat bangunan kerajaan
yang menyediakan tempat khas
bagi perokok dengan menyediakan
tempat duduk yang selesa dan
tempat pembuangan puntung rokok
yang khusus, dedah imam lagi.
Oleh Hasrulraizan