BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Seorang warga asing berusia
36 tahun yang tinggal lebih masa selama 2,988 hari di
negara ini, semalam dihukum penjara tiga bulan dan tiga
kali sebatan oleh Mahkamah Majistret Bandar Seri
Begawan.
Muhadi Sarwi yang berasal dari Indonesia didapati
tinggal lebih masa sejak 20 Februari 2002 selepas pas
imigresennya mansuh dan dikenakan dakwaan di bawah Bab
15 (1) kerana tinggal lebih masa di negara ini.
Dia dicekup oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang
Bandar Seri Begawan yang menjalankan operasi diberi nama
"Ops Cekap JIPK 72/2010" diketuai oleh Pegawai Imigresen
Kanan, berserta tujuh orang pegawai penguat kuasa yang
lain.
Operasi itu menyasarkan dua buah tempat berasingan iaitu
di Kampung Kulapis dan Kampung Mulaut.
Semasa pemeriksaan dijalankan di alamat No 228 di
Kampung Kulapis didapati seorang lelaki warga Indonesia
sedang berbaring di bahagian bawah rumah dan pemeriksaan
mendapati warga asing itu berusia 36 tahun dan bernama
Muhadi Sarwi.
Muhadi pada mulanya mendakwa Pas Imigresennya sah
sehingga Ogos 2010 tetapi dalam perjalanan menuju ke Ibu
Pejabat Imigresen dia membuat pengakuan bahawa Pas
Imigresennya sudah pun mansuh sejak lapan tahun lalu.
Oleh Ak Fairol RMF.