
Sebuah kereta
yang membawa penumpang pelancong
asing yang dipercayai terlibat
dalam kegiatan teksi sapu.
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis -
Pasukan Polis Diraja Brunei dan
Jabatan Pengangkutan Darat
mengambil langkah aktif untuk
memastikan bahawa tidak ada
kegiatan teksi sapu dilakukan
khususnya kenderaan persendirian
digunakan untuk membawa
penumpang berbayar tanpa lesen
yang sah.
Sehubungan dengan itu, Operasi
Sepadu sekatan jalan raya bagi
membanteras kegiatan teksi sapu
diadakan di kawasan Pelabuhan
Muara dan Pekan Muara bermula
dari pukul 9 pagi hingga 10.30
pagi, hari ini.
Kegiatan teksi sapu dipercayai
berlaku di kawasan Pelabuhan
Feri Terminal Serasa Muara dan
Pekan Muara di mana
pelancong-pelancong dari luar
negeri dibawa setiap kali kapal
pelancong tiba.
Menurut keterangan polis,
memandangkan kawasan yang
dikenal pasti itu mempunyai
kekurangan perkhidmatan teksi,
pemandu teksi sapu berkenaan
meminta upah berbentuk bayaran
wang tunai di antara AS$20 ke
AS$30 setiap seorang bagi
membawa pelancong-pelancong
bersiar-siar di kawasan bandar.
Hasil pemeriksaan sepadu yang
dijalankan oleh Balai Polis
Muara, dua buah kereta yang
dipercayai terlibat dalam
kegiatan teksi sapu bersama
dengan penumpang mereka yang
merupakan pelancong dari luar
negeri, telah ditahan.
Jika sabit kesalahan mereka
boleh didakwa di bawah Seksyen
56 (1) RTA 68 di bawah Akta
Undang-Undang Lalu lintas iaitu
larangan ke atas penggunaan
kenderaan perkhidmatan awam yang
tidak dilesenkan.
Oleh Sim Y. H.