KUALA BELAIT, Khamis - Pasukan
Polis Hutan, Bahagian Operasi
Pasukan Simpanan Polis 'C'
Kompeni dan Angkatan Bersenjata
Diraja Brunei menangkap
sekumpulan tiga lelaki warga
asing yang sedang menjalankan
aktiviti penebangan haram dan
mencuri kayu gaharu di kawasan
Perhutanan Sungai Kuat, Mukim
Sukang Labi. Polis dalam
laporannya hari ini berkata
penangkapan itu dilakukan ketika
Operasi Salimbada siri 16/2010
oleh Pasukan Polis Hutan
bahagian Operasi Pasukan
Simpanan Polis C Kompeni bersama
dengan Angkatan Bersenjata
Diraja Brunei di kawasan
berkenaan.
Menurut polis, tangkapan itu
dibuat dalam tempoh dua hari
berturut-turut dengan penahanan
seorang daripada terbabit pada
29 Mei manakala dua lainnya pada
hari berikutnya 30 Mei.
Ketiga-tiga lelaki terbabit
ditahan reman di Penjara
Jerudong untuk siasatan lanjut
dan beberapa potongan kecil kayu
yang dipercayai kayu gaharu
dirampas untuk pemeriksaan dan
tafsiran pakar dari Jabatan
Perhutanan.
Oleh Hajah Saemah Zulkefli