|
|
|
BERITA |
|
Taktik Menipu Guna Pesanan Ringkas Cuba
Aktif Semula |
BANDAR
SERI BEGAWAN,
Isnin - Taktik penipuan
menggunakan telefon melalui penghantaran pesanan ringkas cuba untuk
kembali aktif di negara ini dan Pasukan Polis Diraja Brunei
mengingatkan orang ramai supaya tidak terjerumus ke dalam perangkap
penipu terbabit.
Dengan menggunakan taktik yang sama
seperti masa lalu, sindiket berkenaan cuba mempengaruhi orang ramai
untuk berasa yakin mereka memenangi hadiah sejumlah wang tunai dan
mereka cuba mendapatkan maklumat peribadi melalui telefon.
Bagaimanapun, salah seorang penipu membuat panggilan yang salah pada
hujung minggu lalu apabila dia menghubungi telefon seorang anggota
penguat kuasa undang-undang.
Anggota penguat kuasa undang-undang berkenaan yang enggan dikenali
berkata "saya baru-baru ini menerima panggilan telefon daripada
seorang warga Indonesia yang mendakwa dia membuat panggilan dari
Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur." Sambil mengingat kembali insiden itu, beliau berkata "lelaki
bercakap dengan loghat bahasa Indonesia itu memberitahu bahawa
nombor telefon saya dipilih memenangi hadiah wang tunai $10,000 dan
meminta saya membuat panggilan kepada nombor telefon seorang yang
bernama Dr H Muhammad Zulkifli Dahlan iaitu +6281998199755."
"Apabila lelaki warga Indonesia itu meminta saya mengulangi semula
nombor itu, dia memberitahu akan menghantar pesanan ringkas nombor
yang betul. Beberapa saat kemudian saya menerima pesanan ringkas
bersama-sama dengan nama lelaki yang perlu saya hubungi."
Anggota penguat kuasa undang-undang itu menambah kata, "Beberapa
minit kemudian, lelaki itu menelefon saya lagi dan bertanya sama ada
saya ada menerima pesanan ringkas, dan saya berkata 'Ya'. Kemudian
saya bertanya apa perlu saya lakukan seterusnya. Dia memberitahu
saya menelefon nombor yang diberi dan memberikan alamat penuh saya
serta nombor kad pintar. Saya lalu katakan padanya, 'boleh saya bagi
alamat kantor polisi' dan lantas lelaki itu menamatkan perbualan.
Nombor telefon lelaki itu ialah +6281237060774." Sementara itu,
Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei DSP
Nor Haidah Haji Abd Hallim ketika dihubungi berkata, " terdapat
beberapa aduan yang diterima mengenai penipuan melalui telefon
baru-baru ini dan kami suka mengingatkan orang ramai supaya tidak
terjerumus ke dalam perangkap penipu terbabit."
Oleh James Kon.
|
|
|
|
|
|