BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis -
Polis memberkas seorang lelaki
tempatan yang dipercayai
terlibat dalam pengutipan nombor
ekor dan turut menahan sebuah
kereta yang menyimpan beberapa
wang tunai dan kepingan kertas
bertulis nombor ekor.
Dalam tempoh empat hari
kebelakangan juga, polis antara
lain menerima satu kes rogol
membabitkan mangsa berusia 13
tahun, kes masuk secara haram
melalui sempadan dan cuba
mencuri kayu gaharu, tipu, rosak
barang, amah lari dari majikan,
pukul dan penemuan barang curi.
Polis turut menemui semula
sebuah kereta jenis Toyota
Carina dengan pendaftaran KC6028
di kawasan tapak projek
berhampiran bengkel Seria dan
sebelum ini, kenderaan itu
dilaporkan hilang pada 13 Julai
lalu.
Kesalahan di bawah akta pula
membabitkan akta kastam (minuman
keras, memiliki rokok tanpa
amaran kesihatan negara ini dan
penyeludupan telur penyu
sebanyak 1,520 biji), akta
penyalahgunaan dadah (tangkapan
empat lelaki), akta buruh (gaji
tidak dibayar) dan akta
imigresen (tangkapan empat warga
asing).
Kes
kemalangan dalam tiga hari
kebelakangan pula dicatatkan
sebanyak 43 kes dengan seorang
mendapat cedera parah dan empat
mengalami cedera ringan.
Dari
jumlah itu, 18 kes melibatkan
kemalangan kereta dengan kereta,
22 kemalangan sendiri, satu
kemalangan kereta dengan
penunggang motosikal dan dua
kemalangan kereta dengan
penunggang basikal.
Sebanyak 26 kes dilaporkan
berlaku di daerah Brunei Muara,
10 di daerah Belait dan tujuh di
daerah Tutong.
Berhubung dengan kes curi, polis
merekodkan 15 kes berlaku di
tempat berasingan dengan
sebahagian barang yang
dilaporkan hilang termasuk
barang kemas, dokumen penting,
komputer riba, pemain DVD,
telefon bimbit, bateri kereta
dan wang tunai terkumpul $2,115
Oleh
Rafidah Jumat