BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad -
Polis berjaya menyelesaikan enam
kes curi berikutan tertangkapnya
lima lelaki warga tempatan
berusia 19 hingga 30 tahun dan
dalam kes berasingan, polis
turut memberkas lapan lelaki
tempatan untuk disoal-siasat
berhubung tiga kes pukul.
Dalam tempoh tiga hari
kebelakangan, polis turut
menerima laporan kes merosakkan
barang, menceroboh, tipu dengan
seorang lelaki tempatan ditahan
untuk siasatan, peras ugut
dengan tangkapan seorang lelaki
tempatan, isteri keluar rumah
dan kebakaran perahu.
Kesalahan di bawah akta pula
membabitkan imigresen dengan
tangkapan lapan warga asing dan
akta dadah yang membawa
tangkapan 10 warga asing,
Sementara itu, Jabatan Siasatan
dan Kawalan Lalu Lintas
merekodkan sebanyak 27 kes
dengan seorang mendapat cedera
parah dan dua mengalami cedera
ringan.
Tiga belas kes melibatkan
kemalangan kereta dengan kereta,
14 kemalangan sendiri dengan 20
kes berlaku di daerah Brunei
Muara, daerah Belait (dua) dan
lima di daerah Tutong.
Polis turut mencatatkan sebanyak
13 kes curi yang dilaporkan
berlaku di tempat berasingan
dengan barang yang hilang
termasuk dokumen penting,
telefon bimbit, jam tangan, tong
gas, bateri, ketuhar, mata wang
asing dan wang tunai terkumpul
$2,307 dan komputer riba.
Oleh Rafidah Jumat