
Sebahagian daripada barang yang ditemui dalam kegiatan
nombor ekor.
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Anggota polis melalui Unit
Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat telah
menyerbu sebuah rumah di Kampong Batang Mitus daerah
Tutong apabila menerima maklumat dari orang ramai
mengenai kegiatan nombor ekor yang dijalankan di rumah
terbabit.
Hasil serbuan, anggota polis telah menahan 11 orang
lelaki dan dua wanita yang berada di rumah tersebut,
menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Perhubungan
Awam Polis hari ini.
Anggota polis turut menemui barang yang dipercayai
digunakan dalam kegiatan nombor ekor seperti kertas
sebanyak 22 keping yang bertulis nombor, mesin faksimile,
telefon dan wang tunai.
Kesemua barang telah dirampas sebagai bahan bukti untuk
dibawa ke unit berkenaan bagi siasatan lanjut.
Jika mereka didapati bersalah di bawah Seksyen 4 (C)
Common Gaming House Act Cap 28 iaitu mengendalikan/membantu
menjalankan loteri (collector), boleh dikenakan denda
sebanyak $20,000 dan penjara selama 12 bulan manakala di
bawah Seksyen 9 (1) Common Gaming House Act Cap 28 pula,
iaitu membeli tiket loteri boleh dikenakan denda
sebanyak $2,000.
Polis dalam kenyataannya mengalu-alukan orang ramai
dalam menyalurkan apa jua jenis maklumat dalam sama-sama
membanteras jenayah dari berleluasa.
Oleh Rafidah Jumat