MUKA DEPAN

INFO POLIS

PERKHIDMATAN

KERJAYA

HUBUNGI

BERITA

Perompak larikan $9,000 di Kampung Salambigar

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Polis dalam tempoh empat hari kebelakangan ini menerima satu lagi kes rompakan berkumpulan yang dilaporkan berlaku pada 31 Mei lalu di Kampung Salambigar kira-kira pukul 3 pagi.

Kejadian berlaku apabila perompak memotong kunci pagar pintu rumah di tingkat bawah dan terus naik ke atas lalu memasuki bilik tidur mangsa.

Perompak itu melarikan wang tunai berjumlah $5,000 yang disimpan dalam peti keselamatan dan $4,000 lagi yang tersimpan dalam beg tangan.

Perompak itu dipercayai keluar dari rumah mangsa melalui tempat yang sama dan turut melarikan sebuah kereta jenis Lexus RX 300 berwarna putih dengan pendaftaran KJ1899 dan polis masih lagi menjalankan siasatan berhubung dengan kes ini.

Menurut laporan lagi, anggota CID Balai Polis Berakas pada hari yang sama menjumpai kereta yang dilarikan oleh perompak di kawasan Kampung Kapok.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes ini, diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi talian hotline 993 untuk membantu siasatan polis.

Satu kes persetubuhan di bawah umur juga dilaporkan membabitkan mangsa berusia 14 tahun dan berhubung dengan kes ini, tiga lelaki tempatan berusia 23 sehingga 33 tahun ditahan untuk siasatan.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 16 kes curi dilaporkan berlaku di tempat berasingan dengan sebahagian barang yang dilaporkan hilang termasuk barang kemas, barang makanan, alat audio dan visual, dokumen penting, komputer riba, telefon bimbit, perkakas perahu, kamera digital, sistem televisyen litar tertutup, tong gas, parang, kabel elektrik, beberapa mata wang asing dan wang tunai terkumpul berjumlah $630.

Polis turut menerima satu kehilangan kereta jenis Hyundai Tucson dengan pendaftaran KN7930 di kawasan Kampung Bunut.

Kes lain yang turut diterima termasuk memasuki hutan simpan negara ini secara haram bagi tujuan mencuri kayu gaharu yang membawa penangkapan tiga lelaki warga asing, pukul, pecah amanah, rosak barang, wang tercicir berjumlah $750, anak perempuan keluar rumah, amah lari daripada majikan, tanah susur di kawasan Kampung Tungku dan kebakaran.

Kesalahan di bawah akta pula membabitkan penyalahgunaan dadah dengan tangkapan sembilan lelaki tempatan berusia 18 hingga 47 tahun.

Kemalangan jalan raya dalam empat hari kebelakangan merekodkan sebanyak 43 kes dengan seorang mendapat cedera parah dan tiga lagi mengalami cedera ringan.

Daripada jumlah ini, 26 kes membabitkan kemalangan kereta dengan kereta dan 17 kemalangan sendiri dengan daerah Brunei Muara mencatatkan 29 kes diikuti sembilan kes di daerah Belait dan lima kes di daerah Tutong.

 Oleh Rafidah Jumat



 

ORANG HILANG
ORANG DIKEHENDAKI

LINKS

 

Media


 

count web site visits

© Hak Cipta 2009 - 2010, Pasukan Polis Diraja Brunei, Brunei Darussalam.    |   Laman ini sesuai dilayari mengunakan Internet explorer