BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 15 Januari. -
Tarikh 1 Januari tiap tahun adalah tarikh keramat bagi Pasukan Polis
Diraja Brunei (PDB) kerana pada tarikh tersebut merupakan
tertubuhnya pasukan tersebut dan disambut dengan Sambutan Hari
Polis.
Justeru tahun ini genaplah usia PDB ke-89 dan sebagai menyambut
ulang tahunnya itu Upacara Perbarisan Hari Polis sempena sambutan
ke-89 tahun berlangsung di Padang Kawad, Pusat Latihan Polis, Ibu
Pejabat Polis Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat di upacara tersebut ialah Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Eussoff
Agaki bin Haji Ismail.
(Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman)
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Mulia Dato
Seri Paduka Eussoff Agaki bin Haji Ismail semasa memeriksa
perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Polis Ke-89 berlangsung
di Padang Kawad, Pusat Latihan Polis, Ibu Pejabat Polis Gadong.
Aturcara majlis didahului dengan hormat penglima dan diikuti dengan
pemeriksaan perbarisan dan kemudian penyampaian sijil kepujian
kepada lima orang pegawai dan anggota PDB yang telah terpilih,
disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Penerima sijil-sijil kepujian ini dipilih atas usaha gigih dan
tanggungjawab mereka sebagai penguatkuasa undang-undang dan telah
berjaya menyelesaikan sebanyak 36 kes jenayah yang dilaporkan di
mana, 17 orang penjenayah telah berjaya diberkas dan dihadapkan ke
Mahkamah Bandar Seri Begawan dan dijatuhkan hukuman penjara sehingga
lapan tahun dua bulan penjara.
Upacara pada tahun ini melibatkan seramai 1518 orang pegawai dan
ahli pangkat rendah. Pada perbarisan tersebut sebanyak 11 kontinjen
dari jabatan-jabatan, balai-balai dan unit-unit PDB menyertainya.
Hadir sama ialah Pesuruhjaya Polis, Yang Dimuliakan Pehin Datu Kerma
Setia Dato Paduka Seri Awang Zainuddin bin Jalani dan Datin,
Timbalan Pesuruhjaya Polis Operasi, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya
Pendikar Alam Haji Awang Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu dan
isteri, Timbalan Pesuruhjaya Polis Pengurusan, Sharifah Salmah binti
Dato Paduka Syed Hussein Alkaff, Setiausaha Tetap dan Timbalan
Setiausaha Tetap di JPM, mantan Pesuruhjaya Polis, ahli-ahli
Persatuan Anggota Polis Yang Bersara (POLSARA), ketua-ketua jabatan
dan pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai-pegawai kanan PDB,
penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, pengerusi-pengerusi
dan ahli-ahli kejiranan kampung.
Selain upacara perbarisan, pelbagai atur cara telah dan sudah
diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Polis Ke-89 Tahun antaranya
ialah Majlis Membaca Surah Yaa Siin/tahlil, doa arwah dan doa
selamat, kempen derma darah di seluruh daerah dan walkaton amal
serta pameran untuk penglibatan orang ramai.
'Mengukuhkah Kerjasama Bersama Masyarakat Memerangi Jenayah'
dipilih sebagai tema Sambutan Hari Polis Ke-89 Tahun ini.
Tema tersebut membawa pengertian antaranya menunjukkan betapa PDB
menitikberatkan penglibatan masyarakat secara menyeluruh dalam
usahanya memerangi apa jua bentuk jenayah yang boleh menggugat
keamanan dan keharmonian negara.
(Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman)
TIMBALAN Menteri di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Eussoff Agaki
menyampaikan sijil kepujian kepada salah seorang pegawai di Upacara
Perbarisan Sempena Sambutan Hari Polis Ke-89 Tahun.
Ianya juga adalah sebagai kesinambungan usaha-usaha PDB dalam
menjana kerjasama dan sokongan masyarakat bagi memastikan negara ini
sentiasa berada dalam keadaan makmur dan tenteram.
Tema tersebut juga mencerminkan kesungguhan PDB untuk menggalakkan
orang ramai dan masyarakat tampil memberi sumbangan dalam memerangi
jenayah di negara ini.
PDB menyedari bahawa ianya tidak akan dapat melaksanakan tugas dan
tanggungjawabnya dengan berkesan tanpa adanya sokongan dan kerjasama
dari masyarakat secara menyeluruh.
PDB telah menjadikan 'community engagement'
atau penglibatan
masyarakat sebagai salah satu agenda pasukan yang diberi keutamaan
kerana melaluinya PDB berkeyakinan bahawa suasana aman dan tenteram
akan dapat terus dinikmati.
Pasukan ini sentiasa mengalu-alukan penglibatan masyarakat secara
menyeluruh dalam usaha memerangi apa pun bentuk jenayah dengan
menyalurkan maklumat dan menjadi mata dan telinga kepada pasukan
polis.
PDB selaku ejen penguatkuasa undang-undang tertua di Negara Brunei
Darussalam sejak sekian lama telah banyak menyumbangkan khidmat
bakti dalam memastikan suasana kehidupan rakyat dan penduduk
sentiasa dalam keadaan aman dan makmur.
Kestabilan dan pembangunan serta pertumbuhan sosioekonomi negara
yang dinikmati selama ini sesungguhnya tidak akan dapat dicapai
tanpa adanya pengorbanan anggota-anggota penguatkuasa undang-undang
khususnya PDB.
(Oleh : Siti Zuraihah Awang Sulaiman)