KUALA
BELAIT, Isnin - Unit perisik/operasi Bahagian Penguatkuasaan
Imigresen daerah ini semalam menjalankan operasi 'Ops Cekap
66/2010' yang menyasarkan para penjaja yang menggunakan
kenderaan secara bergerak ke tempat tinggal kediaman pekerja dan
juga kem kediaman pekerja asing di projek pembinaan di Pekan
Seria.
Sewaktu pemeriksaan dijalankan,anggota penguatkuasaan mendapati
dua lelaki warga Thailand sedang melayan pelanggan yang
berkumpul untuk membeli barang jajaan di dalam kereta tersebut.
Hasil
siasatan mendapati pemandu kereta jajaan itu bekerja sebagai
tukang elektrik dan dia mengakui semua barang jajaan adalah
kepunyaannya manakala seorang lagi yang dipercayai pembantunya
didapati bekerja sebagai buruh binaan.
Kedua-dua mereka dijamin dengan syarikat swasta yang berlainan
dari daerah Brunei Muara.
Pemeriksaan ke atas kereta itu juga mendapati sejumlah empat
botol minuman keras arak putih disimpan di lantai tempat duduk
penumpang hadapan yang dipercayai bagi tujuan dijual kepada
pekerja asing.
Berikutan dengan penemuan minuman keras tersebut, pegawai dari
Unit Pencegah & Risikan, Jabatan Kastam dan Eksais telah
dihubungi bagi mengendalikan kes ini dan minuman keras yang
dipercayai tanpa kebenaran ini dirampas dan dibawa oleh anggota
dari unit berkenaan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sementara itu, dalam operasi berasingan malam tadi, anggota
penguat kuasa imigresen telah menahan sebuah kenderaan yang
dalam pemerhatian sedang membawa seorang wanita menuju ke kem
dan beberapa tempat tinggal pekerja asing lelaki di pekan daerah
ini.
Perempuan terbabit dipercayai adalah untuk ditawarkan dan
siasatan mendapati lelaki warga Thailand yang berperanan sebagai
bapa ayam itu mempunyai jaminan pas kerja manakala perempuan
tersebut, juga warga yang sama adalah pemegang pas melawat (dua
minggu) sejak bulan September lalu.
Pemeriksaan yang dijalankan turut menemui pelbagai jenis pil
perancang dan berbagai jenis bil dalam beg pasangannya sementara
pemeriksaan dalam kenderaan pula mendapati terdapat satu kotak
kondom jenis Carex dan lima gulung tisu.
Kedua-duanya dibawa untuk siasatan lanjut dan barang yang
ditemui dirampas sebagai bahan bukti.
Oleh Rafidah Jumat.