
Pasukan Polis bersama agensi penguatkuasaan lain
menjalankan pemeriksaan di kawasan letak kereta Jerudong
Park.
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Sembilan kes khalwat adalah
di antara yang dikesan dalam Operasi SEPADU yang
diadakan semalam di kawasan Pantai Jerudong dan Tungku,
kawasan letak kereta Jerudong Park dan rumah sewa di
Sungai Tampoi.
Operasi itu membabitkan 72 anggota dan pegawai daripada
pelbagai agensi termasuk Pasukan Polis Diraja Brunei,
Jabatan Kastam, Jabatan Daerah Brunei Muara dan
Kementerian Hal Ehwal Agama.
Turut dikesan dalam operasi yang diketuai ASP Haji Mohd
Irham Haji Mohd Irshad itu ialah tiga kes meminum
minuman keras di kawasan letak kereta Jerudong manakala
yang lain tiga kes kesalahan lalu lintas dan kes kastam.
Tujuan operasi itu diadakan adalah bagi membersihkan
kegiatan sosial yang negatif seperti maksiat, lepak dan
juga meminum minuman keras.
Ia juga bagi menyatupadukan agensi penguatkuasaan di
negara ini dengan mengongsi maklumat dan bersama-sama
menguatkuasakan undang-undang serta peraturan
masing-masing. Kesemua pesalah dibawa ke Balai Polis
Sengkurong untuk siasatan lanjut.
Sehubungan itu orang ramai adalah diminta supaya
sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi
penguatkuasaan dalam usaha membanteras jenayah di negara
ini.
Oleh Ak Fairol RMF.