|
Siapakah yang perlu untuk memohon
Lesen Perniagaan Agensi Pengawal
Keselamatan?
Mana-mana orang atau syarikat yang
didaftarkan menjalankan perniagaan
suatu agensi pengawal keselamatan
jika dia memberi atau mengiklankan
atau memberitahu atau menyatakan
bahawa dia bersedia memberikan atau
dalam apa jua cara pun menawarkan
dirinya kepada orang ramai sebagai
sanggup memberikan pengawal-pengawal
keselamatan untuk melindungi
orang-orang atau harta atau mencegah
pencurian atau pengambilan harta
dengan menyalahi undang-undang atau
sebagai balasan sebarang bayaran
atau ganjaran lain (sama ada wang
ataupun sebaliknya).
Apakah syarat-syaratnya?
Awda perlulah memenuhi syarat-syarat
dan peraturan yang dinyatakan dalam
ruangan
Memohon Lesen.
Apakah dokumen-dokumen tambahan yang
perlu disertakan?
Awda perlu menyertakan dokumen di
bawah:
1. Salinan Kad Pengenalan
pemohon, rakan kongsi,
pengarah-pengarah syarikat.
2. 3 keping gambar pemohon,
rakan kongsi, pengarah-pengarah
syarikat berukuran passport
3. Biodata pemohon, rakan
kongsi dan pengarah-pengarah
syarikat.
4. Salinan kebenaran
penggunaan logo daripada Jabatan Hal
Ehwal Dalam Negeri (jika ada) dan
salinan kelulusan tulisan jawi
daripada Dewan Bahasa dan Pustaka.
5. Alamat dan gambar rajah
bangunan yang akan digunakan bagi
tujuan menjalankan Perniagaan Agensi
Pengawal Keselamatan.
Berapa lama permohonan ini akan
diproses?
Kebiasaannya akan mengambil masa dua
minggu waktu berkerja dengan
permohonan dan dokumen-dokumen yang
lengkap. (Tertakluk kepada keadaan).
Adakah sebarang bayaran akan
dikenakan kepada permohonan ini dan
untuk tempoh berapa lama?
Bayaran NBD $500.00 untuk tempoh
satu tahun menggunakan lesen
tersebut.
Siapakan yang perlu dihubungi bagi
maklumat lanjut?
Awda bolehlah berhubung terus kepada:
Pegawai Bahagian Perlesenan Agensi
Pengawal Keselamatan
Ibu Pejabat Polis Gadong
Pasukan Polis Diraja Brunei
Bandar Seri Begawan, BE1710
Negara Brunei Darussalam
+673 2459500 sambungan 319
Soalan yang sering diajukan.
Soalan: Bolehkah mana-mana orang
atau syarikat yang tidak berdaftar
memohon dan menjalankan Perniagaan
Agensi Pengawal Keselamatan?
Tidak. Mereka terlebih dahulu
perlulah mendaftar syarikat tersebut
di Pejabat Undang-Undang sebelum
memohon dan menjalankan Perniagaan
Agensi Pengawal Keselamatan. Awda
juga dinasihati supaya nama syarikat
tersebut KHUSUS bagi Perniagaan
Agensi Pengawal Keselamatan dan
tidak dicampur aduk dengan
perniagaan lain.
Soalan: Bolehkah menjalankan
Perniagaan Agensi Pengawal
Keselamatan jika saya sudah
mempunyai sebuah syarikat perniagaan
yang berdaftar tetapi bukan
dikhususkan untuk pengawal
keselamatan?
Tidak. Awda dinasihati untuk
mendaftar baru sebuah syarikat
KHUSUS bagi Perniagaan Agensi
Pengawal Keselamatan sahaja dan
tidak dicampur aduk dengan
perniagaan lain.
Soalan: Jika saya sudah mempunyai
syarikat perniagaan yang lain,
bolehkah saya memohon bagi
Perniagaan Agensi Pengawal
Keselamatan?
Ya. Awda bolehlah memohon bagi
Perniagaan Agensi Pengawal
Keselamatan.
Soalan: Jika saya ada perniagaan
yang menjual peralatan keselamatan
seperti ‘motion detector’ ‘buzzer’ (penggera)
dsb, adakah saya perlu memohon Lesen
Perniagaan Agensi Pengawal
Keselamatan?
Tidak.
Soalan: Jika saya menggaji mana-mana
orang untuk menjadi seorang pengawal
keselamatan tetapi hanyalah untuk
mengawal dan menjaga harta benda
saya, adakah saya perlu memohon
Lesen Perniagaan Agensi Pengawal
Keselamatan?
Tidak. Kecuali awda memaklumkan/memberitahu
kepada orang ramai bahawa awda
sanggup menyediakan atau membekalkan
pengawal keselamatan barulah awda
dikehendaki memohon Lesen Perniagaan
Agensi Pengawal Keselamatan.
Soalan: Jika saya menjalankan
perniagaan Central Monitoring System
(Sistem Pusat Pengawasan) adakah
saya perlu memohon Lesen Perniagaan
Agensi Pengawal Keselamatan?
Ya. Awda termasuk dalam memberikan
pengawal-pengawal keselamatan untuk
melindungi orang-orang atau harta
atau mencegah pencurian atau
pengambilan harta dengan menyalahi
undang-undang.
Soalan: Bolehkah saya menjalankan
Perniagaan Agensi Pengawal
Keselamatan setelah saya mendapatkan
Lesen Perniagaan Agensi Pengawal
Keselamatan?
Ya. Akan tetapi awda perlulah
mendapatkan juga kebenaran/kelulusan
bertulis daripada Jabatan Kerja Raya,
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa,
Jabatan Bomba dan Penyelamat,
Jabatan Perkhidmatan Elektrik bagi
tempat atau bangunan dimana
Perniagaan Agensi Pengawal
Keselamatan akan dijalankan. Awda
juga mendapatkan kebenaran bertulis
daripada Pegawai Melesen sebelum
mengedarkan dan memberikan pakaian
seragam dan peralatan kepada
pengawal keselamatan awda.
Soalan: Jika saya mempunyai rekod
kesalahan jenayah masa lalu,
dapatkah saya memohon Lesen
Perniagaan Agensi Pengawal
Keselamatan?
Tidak. Sebab antara syarat utama,
Pemegang Lesen hendaklah tidak ada
rekod kesalahan jenayah di Negara
Brunei Darussalam.
Soalan: Sebagai Pemegang Lesen,
adakah saya akan dimaklumkan jika
lesen saya digantung atau dibatalkan?
Ya.
Prosedur pengambilan pengawal
keselamatan
Soalan: Bagaimana caranya saya
menggaji seorang pengawal
keselamatan?
Awda perlulah terlebih dahulu
menghadapkan Borang C yang
telah lengkap diisi sendiri oleh
bakal pengawal keselamatan kepada
Bahagian Perlesenan Agensi Pengawal
Keselamatan bagi tapisan keselamatan.
Hanya setelah lulus tapisan
keselamatan dan mendapat kebenaran
bertulis daripada Bahagian
Perlesenan Agensi Pengawal
Keselamatan barulah pemohon
berkenaan dapat digaji sebagai
pengawal keselamatan.
Soalan: Berapakah bayaran yang
dikenakan bagi membuat tapisan
keselamatan terhadap bakal pengawal
keselamatan?
Awda tidak akan dikenakan sebarang
bayaran bagi tapisan keselamatan.
|