SERIA, Khamis - Seorang lelaki tempatan maut setelah kenderaan jenis
pikap yang ditumpanginya terlibat dalam kemalangan jalan raya di
kawasan Simpang Empat, antara X20 dan G20 dekat sini kira-kira pukul
10 pagi ini.
Menurut polis, mangsa berusia 21 tahun itu disahkan meninggal dunia
oleh pegawai perubatan Hospital Suri Seri Begawan ekoran kemalangan
yang berlaku antara sebuah lori dengan kenderaan yang ditumpanginya.
Balai Polis Seria menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira
10.37 pagi dan mengerahkan anggota polis bersama anggota Bomba dan
Penyelamat serta dua ambulan kerajaan dan ambulan Syarikat BSP Sdn
Bhd ke tempat kejadian.
Polis berkata punca kejadian masih dalam siasatan. Bagaimanapun
semasa kejadian, lori dikatakan dalam perjalanan menuju ke Bandar
Seri Begawan manakala kenderaan yang dinaiki mangsa sedang menuju ke
Pusat Penemuan Minyak Dan Gas (OGDC).
Pemandu lori terbabit iaitu seorang lelaki warga Indonesia berusia
49 tahun dikatakan hanya mendapat cedera ringan sementara pemandu
pikap terbabit yang juga seorang warga Indonesia berusia 28 tahun
bersama seorang lagi penumpang warga tempatan berusia 18 tahun
dilaporkan mendapat kecederaan dan masih dirawat di hospital.
Mangsa dikatakan seorang pekerja di salah
sebuah syarikat tempatan yang semasa kejadian sedang dalam
perjalanan untuk menjalankan kerjanya.
Oleh Hajah Saemah Zulkefli