SERIA,
Isnin, 19 April. - Atas
maklumat orang ramai anggota Balai Polis Seria telah berjaya
menangkap tiga orang warga asing berumur lingkungan 30 tahun yang
dipercayai mencuri kabel elektrik berbagai jenis dari salah sebuah
syarikat swasta di sini.
Salah
seorang suspek ditangkap pada 13 April lalu di kawasan J16 Lorong
Enam, Seria manakala dua orang lagi ditangkap pada hari berikutnya.
Dua daripada mereka ditahan reman dan akan dihadapkan ke Mahkamah
Rendah Bandar Seri Begawan hari ini atas dakwaan di bawah Seksyen
379 dibacakan dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan Jenayah dan jika
sabit kesalahan akan dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda
atau kedua-duanya sekali sementara seorang lagi dibebaskan dengan
ikat jamin.
Dalam
pada itu pihak polis masih mencari dua orang lagi yang masih bebas.
Pegawai Menguasa Balai, Balai Polis Seria, Inspektor Kifli bin Haji
Mohd. Daud dalam Sidang Media menyatakan semasa tangkapan dibuat
pihak polis menemui selonggok kulit kabel bersama dawainya dan kabel
jenis tembaga sepanjang lebih kurang sembilan meter. Nilai kabel
yang dicuri tersebut hampir mencecah BND39,000. Ke semua barang
tersebut ditahan di balai berkenaan untuk siasatan lanjut.
Oleh
Dk. Hajah Saidah Pg. Haji Omaralli.