BANDAR SERI BEGAWAN,
Khamis - Biro Mencegah Rasuah (BMR) dalam kenyataannya
yang dikeluarkan hari ini, menyatakan bahawa seorang
kerani, Awang Mohd Murad Haji Arip dijatuhi hukuman
penjara 12 bulan setelah didapati bersalah oleh Mahkamah
Majistret Bandar Seri Begawan atas dua pertuduhan.
Dua pertubuhan itu adalah
di bawah Bab 420 Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22) dan
2 pertuduhan di bawah Bab 420 dibaca bersama Bab 511
Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22).
Kenyataan menjelaskan
lagi bahawa Timbalan Pendakwa, Dayangku Norsuzanawati
Pengiran Abas memaklumkan kepada mahkamah bahawa hasil
siasatan BMR mendapati tertuduh telah menipu dua mangsa
dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa
beliau boleh memadamkan nama mangsa daripada senarai
kakitangan kerajaan yang dibuang kerja yang mana
tertuduh mengetahui bahawa perkara itu adalah palsu yang
menyebabkan kedua-dua mangsa terpedaya serta membuat
pembayaran kepada tertuduh berjumlah $2,250.
Di samping itu,
tertuduh juga didapati cuba menipu dua mangsa dengan
memperdayakan kedua-dua mangsa untuk mempercayai bahawa
beliau boleh memadamkan nama-nama mangsa daripada
senarai kakitangan kerajaan yang dibuang kerja yang mana
tertuduh mengetahui ketidakwujudan senarai itu dan oleh
demikian telah dengan curangnya cuba mendorong kedua
mangsa untuk menyerahkan wang sebanyak $2,000 dari
setiap seorang.
Tertuduh telah dijatuhkan
hukuman penjara selama empat bulan bagi setiap
pertuduhan pertama dan kedua serta dua bulan penjara
bagi setiap pertuduhan ketiga dan keempat.
Oleh Sim Y.H.