KUALA BELAIT, Khamis - Kejadian
pecah masuk ke atas dua buah
pejabat di tingkat bawah dan
atas di Bangunan Jabatan-Jabatan
Kerajaan dekat sini telah
mengejutkan
kakitangan-kakitangannya awal
pagi tadi.

Antara laci meja
pejabat yang dibuka
dan diselongkar.
|

Keadaan atas meja
kakitangan pejabat
yang berselerak
akibat diselongkar
oleh pencuri.
|
Kejadian yang dipercayai berlaku
malam tadi, menyebabkan beberapa
buah meja di selongkar dan
terdapat kehilangan barangan
peribadi kakitangan dan juga
pejabat.
Menurut kakitangan di sana,
dipercayai pencuri yang masuk ke
pejabat tingkat bawah bangunan
itu melalui jendela ekoran
didapati penguncinya dibuka dari
luar dan turut ditemui mereka
ialah alat pemutar skru yang
ditinggalkan di atas salah
sebuah meja.
Ekoran kejadian itu juga telah
menyebabkan kakitangan di
pejabat terbabit terpaksa
menangguhkan tugasan pagi ini,
untuk memudahkan pihak polis
membuat penyiasatan dan
pemeriksaan cap jari di sekitar
pejabat.
Beberapa orang kakitangan
pejabat terbabit di tingkat
bawah memberitahu media, antara
barang-barang yang didapati
hilang adalah wang kepunyaan
peribadi kakitangan yang
disimpan di dalam laci, radio
dan peralatan jabatan.
Sementara, kakitangan di pejabat
tingkat satu bangunan yang turut
dipecah masuk dalam kejadian itu
pula memberitahu kehilangan
sebuah komputer riba milik,
sebuah kamera digital juga milik
kakitangan dan sebuah lagi
kamera digital milik pejabat itu
serta sedikit wang yang
ditinggalkan di dalam laci milik
kakitangan di pejabat itu.
Selain turut ditemui di pejabat
terbabit di tingkat satu ialah
beberapa puntung rokok, dan
sepasang selipar getah yang
diletakkan di luar berdekatan
pintu masuk ke pejabat itu yang
dipercayai milik pencuri.
Kejadian di pejabat tingkat
bawah bangunan itu dikatakan
mula disedari oleh seorang
pembersih yang datang kira-kira
pukul 6:00 pagi tadi, dan
menurutnya seperti biasa dia
masuk untuk memasang lampu dan
terperanjat melihat keadaan laci
meja yang dibuka dan diselongkar
lalu mengadu kejadian kepada
pegawai kanan pejabat sebelum
dilaporkan kepada polis.
Manakala kejadian di lantai atas
pejabat bangunan pula telah mula
disedari oleh salah seorang
kakitangan lelaki yang datang
awal yang terkejut mendapati
pintu renggang dan setelah masuk
dia mendapati keadaan pejabat
yang juga diselongkar.
Menurut kakitangan di kedua-dua
pejabat itu, kejadian merupakan
yang pertama berlaku dan sejak
mereka bekerja di bangunan itu
belum pernah mengalami kejadian
seperti itu sebelumnya, dan ia
amat memeranjatkan mereka semua.
Media Permata juga difahamkan
untuk membolehkan masuk melalui
pintu besar pejabat mereka itu
adalah dengan menggunakan nombor
laluan. Polis bagaimanapun masih
menyiasat kejadian tersebut.
Oleh Hajah
Saemah Zulkefli