MUKA DEPAN

INFO POLIS

PERKHIDMATAN

KERJAYA

HUBUNGI

BERITA

Kakitangan sempadan perlu efektif cegah jenayah


 

http://www.mediapermata.com.bn/khamis/27pic19.jpg
Ahli Majlis Mesyuarat Negara Haji Shafiee Haji Ahmad menyampaikan sijil kepada pegawai wakil agensi jabatan kerajaan yang beroperasi di Pos Kawalan Sungai Tujuh.

http://www.mediapermata.com.bn/khamis/27pic20.jpg

http://www.mediapermata.com.bn/khamis/27pic21.jpg

http://www.mediapermata.com.bn/khamis/27pic22.jpg
Antara yang menghadiri Majlis Pelancaran Pendidikan Pencegahan Dadah di Tempat Kerja di Pos Kawalan Sungai Tujuh.

KUALA BELAIT, Rabu - Biro Kawalan Narkotik melancarkan Program Pendidikan Pencegahan Dadah di Tempat Kerja di Pos Kawalan Sungai Tujuh hari ini.

Program merupakan yang pertama diadakan di tempat kerja untuk kakitangan kerajaan dan ia akan dilaratkan kepada agensi-agensi jabatan kerajaan lainnya.

Pengerusi Majlis Pengarah Biro Kawalan Narkotik Haji Abdul Aziz Haji Othman ketika berucap pada majlis pelancaran program itu hari ini berkata Pos Kawalan Sungai Tujuh adalah pintu masuk utama dari Miri, Negeri Sarawak yang kadang-kadang disalahgunakan oleh penyeludup bermacam jenis barang tegahan.

Maka, adalah mustahak bagi semua agensi yang bertugas di sini untuk bekerjasama dengan padu memahami tatacara dan kaedah operasi masing-masing, dan program adalah untuk mendedahkan maklumat pengedaran dan penyeludupan dadah melalui pos kawalan, katanya.

Hadir merasmikan program ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara Haji Mohd Shafiee Haji Ahmad yang turut menyampaikan sijil kepada pegawai 12 agensi jabatan kerajaan yang beroperasi di Pos Kawalan Sungai Tujuh.

Dalam ucapan perasmiannya, Haji Mohd Shafie berkata kepentingan Pos Kawalan sebagai pintu masuk ke negara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia merupakan pintu keluar masuk rakyat dan pelawat dan pada masa yang sama penjenayah.

Menurutnya pegawai dan kakitangan di Pos Kawalan terdiri daripada 12 agensi kerajaan, dan dengan adanya program seperti ini dapat menggambarkan kepada orang ramai bahawa 12 agensi dalam satu dengan satu tujuan bertugas mengawal keselamatan di sempadan.

Sehubungan itu, katanya dalam menghadapi cabaran di alaf ini '12 agensi dalam satu' ini perlu melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran agar ia sentiasa efektif dalam menangani masalah ketenteraman awam dan keselamatan dalam negeri.

Majlis hari ini turut diserikan dengan pameran oleh 12 agensi yang beroperasi di Pos Kawalan antaranya Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Kastam dan Eksais, Biro Kawalan Narkotik, Biro Mencegah Rasuah, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Pertanian, Jabatan Perhutanan, Bahagian Halal dan Haram, bahagian Merinyu dan bahagian Penapisan Jabatan Hal Ehwal Ugama, Jabatan Perikanan, Jabatan Pengangkutan Darat dan Jabatan Kesihatan.

Program hari ini juga turut dimuatkan dengan taklimat pengetahuan tentang dadah dan kesannya kepada yang terlibat, pengambilan contoh air kencing yang juga akan terus dilakukan dari masa ke semasa selepas ini ke atas pegawai-pegawai dan kakitangan yang beroperasi di Pos Kawalan atau sempadan untuk terus memastikan mereka bersih daripada penglibatan dadah.

Timbalan Pengerusi Pemangku Penolong Pengarah Biro Kawalan Narkotik Awang Osmawi Haji Osman memberitahu taklimat juga akan dibuat secara bergilir-gilir kepada semua agensi yang beroperasi di sempadan.

Oleh Hajah Saemah Zulkefli



 

ORANG HILANG
ORANG DIKEHENDAKI

LINKS

 

Media

count web site visits

© Hak Cipta 2009 - 2010, Pasukan Polis Diraja Brunei, Brunei Darussalam.    |   Laman ini sesuai dilayari mengunakan Internet explorer