KUALA BELAIT, Rabu -
Polis Kuala Belait berjaya menumpaskan sebuah geng pecah rumah
ekoran penahanan 12 tersangka termasuk empat remaja berusia 14
hingga 16 tahun dan seorang wanita berusia 24 tahun.
Ekoran tangkapan itu, polis percaya mereka telah menyelesaikan
sembilan kes pecah rumah membabitkan kecurian bernilai $25,000.
Kumpulan itu
dikatakan melakukan kegiatan pecah rumah di kawasan Jalan Maulana
Kuala Belait dan Seria.
Enam daripada tersangka telah direman di Balai Polis Kuala Belait
sekitar Januari lalu dan ketika mereka ditahan, polis berjaya
menemui semula barang-barangan yang dicuri serta merampas pelbagai
barangan rumah seperti karpet, televisyen, pemain DVD, dispenser
air, pembersih hampa gas, mesin basuh, telefon bimbit dan berbagai
lagi.
Salah seorang
tersangka, Mohammad Maserwandy Khairuddin telah dihadapkan ke
mahkamah di Bandar Seri Begawan dimana dia mengaku bersalah terhadap
tujuh pertuduhan curi di sebuah rumah, mengikut Seksyen 380 Kanun
Kesiksaan pada bulan lalu. Dia kemudiannnya dijatuhi hukuman penjara
selama 24 bulan.
Berdasarkan siasatan polis, kesemua 12 tersangka memecah masuk rumah
pada sebelah malam dan biasanya mereka melakukan pemantauan di rumah
yang disasarkan terlebih dahulu sebelum melakukan pecah rumah.
Mereka akan melakukan jenayah itu apabila penghuni rumah keluar
meninggalkan rumah mereka, sekalipun untuk masa yang singkat sahaja.
Sebaik sahaja penghuni rumah keluar dari rumah mereka, dua tersangka
akan memecah masuk ke dalam rumah sementara dua rakan mereka
menunggu di luar mengawasi keadaan.
Polis berkata, tersangka biasanya memasuki rumah menerusi lubang
pendingin hawa tingkap yang tidak digunakan, selain menerusi tingkap
atau pintu aluminium. Selain itu, kumpulan pencuri itu akan
merosakan tombol pintu untuk memasuki rumah yang mereka sasarkan.
Sehubungan itu, polis mengingatkan orang ramai supaya memaklumkan
kepada jiran apabila mereka mahu keluar meninggalkan rumah.
Mereka juga dinasihatkan supaya memastikan semua pintu dan tingkap
rumah benar-benar dikunci serta menyimpan barangan berharga di
tempat yang lebih selamat.
Polis juga menasihatkan pemilik rumah supaya menutup rapi semula
lubang bekas alat penghawa dingin yang tidak digunakan dan juga
memasang jeriji tingkap demi keselamatan rumah mereka.
Oleh Liza Mohd.