BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat -
Dua orang lagi dikenakan denda
kompaun oleh Unit Penguat Kuasa,
Bahagian Kawalan Tembakau kerana
didapati merokok di tempat yang
ditegah di bawah Bab 14 Perintah
Tembakau 2005. Dalam kenyataan
yang dikeluarkan Kementerian
Kesihatan hari ini, kedua-dua
individu itu dikenakan denda
kompaun sebanyak $150 seorang.
Ke arah itu, kementerian
berkenaan mengingatkan orang
ramai, merokok di tempat yang
ditegah merokok adalah satu
kesalahan di bawah Perintah
Tembakau 2005 dan Peraturan
2007.
Sesiapa yang didapati bersalah
akan dikenakan denda kompaun
atau didakwa di mahkamah dan
jika sabit kesalahan mereka
boleh didenda tidak lebih $1,000
yang mana pada Mei lalu seramai
11 orang dikenakan denda kompaun
kerana merokok di tempat awam.
Antara kawasan awam yang ditegah
merokok termasuk kaki lima kedai
dan pusat membeli belah, pasar,
gerai tamu, stesen dan
perhentian bas, restoran dan
kedai makan serta bangunan
kerajaan.
Kementerian berkenaan akan terus
mengadakan pemantauan aktif dan
tindakan undang-undang akan
diambil bagi mereka yang
didapati melakukan kesalahan di
bawah Perintah Tembakau 2005 dan
Peraturan 2007 di seluruh negara.
Dalam kenyataan, kementerian itu
juga menekankan kesalahan
pertama merokok di tempat yang
ditegah merokok akan dikenakan
denda kompaun sebanyak $150 dan
$300 bagi kesalahan kedua
manakala bagi kesalahan
berikutnya, mereka yang didapati
merokok di tempat awam akan
dihadapkan ke mahkamah
Oleh Salawati Haji Yahya