BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Dua jemaah umrah dari Negara
Brunei Darussalam terkorban dalam satu nahas jalan raya
malam tadi ketika sedang dalam perjalanan ke Madinah,
manakala tiga yang lain dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi
(ICU), seorang daripadanya berada dalam keadaan kritikal.
Duta Brunei ke Arab Saudi Pengiran Dato Paduka Haji
Jabaruddin ketika dihubungi Media Permata mengesahkan
berita tragis itu sambil berkata: "Sebuah keluarga tujuh
jemaah warga Brunei sedang dalam perjalanan menuju ke
Madinah dalam sebuah bas mini yang mereka sewa sendiri
apabila kemalangan itu berlaku, kira-kira 100 kilometer
dari Bandar Suci itu."
Satu sumber dari agen perjalanan tempatan yang
menyediakan pakej mengerjakan umrah bagi keluarga
berkenaan dan bertolak ke Tanah Suci semalam memberitahu
Media Permata bahawa, pemandu bas mini terbabit, seorang
warga asing, dikatakan mengalami serangan jantung.
Akibatnya, beliau gagal mengawal bas mini berkenaan lalu
merempuh sebuah treler yang sedang bergerak di hadapan
bas mini itu. Pemandu bas mini itu turut terkorban.
Pengiran Dato Paduka Haji Jabaruddin berkata, seorang
wanita pertengahan umur dan seorang remaja perempuan
yang terbunuh dalam nahas itu ialah isteri dan cucu
seorang imam di Brunei.
"Imam itu pula kini sedang dirawat di ICU bersama dengan
dua lagi ahli keluarganya. Seorang daripada mereka
mengalami kecederaan tulang belakang dan seorang lagi
cedera di dada," kata beliau.
Pengiran Dato Paduka Haji Jabaruddin dan pegawai-pegawai
dari Kedutaan Brunei di Jeddah telah pergi ke Madinah
untuk menghulurkan bantuan kepada anggota-anggota
keluarga yang terselamat dalam nahas itu.
Menurut sumber di pejabat agen perjalanan tempatan, kaum
keluarga mangsa yang terkorban di Brunei dan
pegawai-pegawai dari agen perjalanan itu dijadual
bertolak segera ke Arab Saudi.
Ini merupakan kali pertama di mana jemaah dari Brunei
terkorban dalam nahas jalan raya di Arab Saudi. Jemaah
umrah dari Brunei selalunya pergi ke Madinah terlebih
dahulu, yang terletak kira-kira lima jam perjalanan dari
Jeddah, untuk menziarahi Makam Nabi Muhammad SAW sebelum
kembali ke Mekah untuk mengerjakan umrah.
Oleh Waleed PD Mahdini & Azaraimy HH