BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad -
Seorang Merinyu Kanan Ugama di
Jabatan Hal Ehwal Ugama, Haji
Mohammad Gani Roseta dihadapkan
ke Mahkamah Majistret, Bandar
Seri Begawan atas satu
pertuduhan di bawah Bab 6(2)
Akta Pencegah Rasuah (Penggal
131) dan satu pertuduhan
alternatif di bawah Bab 165
Kanun Hukuman Jenayah (Penggal
22).
Menurut kenyataan Biro Mencegah
Rasuah (BMR), Timbalan
Pendakwanya, Pengiran Nina
Jasmin PLKDR Pengiran Haji
Bahrin memaklumkan kepada
Mahkamah bahawa hasil siasatan
BMR mendapati tertuduh menerima
secara tidak jujur wang suapan
berjumlah $600 daripada seorang
lelaki warga asing.
Wang suapan itu merupakan satu
dorongan atau ganjaran supaya
tidak mengambil tindakan
terhadap lelaki tersebut kerana
melakukan kesalahan di bawah
Akta Majlis Ugama Islam dan
Mahkamah-mahkamah Kadi (Penggal
77).
Semasa dihadapkan ke Mahkamah,
tiada pengakuan diambil.
Mahkamah memerintahkan supaya
tertuduh dibebaskan dengan ikat
jamin $2,000 atau seorang
penjamin tempatan. Mahkamah juga
menetapkan 17 Julai 2010 sebagai
tarikh sebutan lanjut.
Di samping itu juga, seorang
bekas anggota Polis S/Sgt 689
Basri Marali dihadapkan ke
Mahkamah Majistret, Bandar Seri
Begawan atas satu pertuduhan di
bawah Bab 6(a) Akta Pencegahan
Rasuah (Penggal 131).
Timbalan Pendakwanya, Pengiran
Nina Jasmin PLKDR Pengiran Haji
Bahrin memaklumkan kepada
Mahkamah bahawa hasil siasatan
BMR mendapati bahawa tertuduh
menerima secara tidak jujur wang
suapan berjumlah $200 daripada
seorang lelaki berbangsa Cina.
Wang suapan tersebut merupakan
satu dorongan supaya tidak
mengambil tindakan terhadap
lelaki tersebut kerana
memindahkan kereta jenis Toyota
Echo daripada tempat kemalangan
sebelum selesai siasatan polis,
kata kenyataan itu.
Ketika dihadapkan ke Mahkamah,
tiada pengakuan diambil dan
Mahkamah memerintahkan supaya
tertuduh dibebaskan dengan ikat
jamin $2,000 atau seorang
penjamin tempatan. Mahkamah juga
menetapkan 17 Julai 2010 sebagai
tarikh sebutan lanjut.
Oleh
Ak Fairol RMF