MUKA DEPAN

INFO POLIS

PERKHIDMATAN

KERJAYA

HUBUNGI

BERITA

Dua anggota STS terima anugerah kerana benci rasuah

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Dua anggota Skuad Tindakan Segera (STS), Pasukan Polis Diraja Brunei yang enggan menerima rasuah sebaliknya segera melaporkan dan mengambil tindakan ke atas tertuduh, hari ini dianugerahkan Sijil Kepujian Pasukan Polis Diraja Brunei.

Dalam insiden kira-kira pukul 1.15 pagi, 30 Ogos 2008, APO Koperal Kamsulladdin Buda dan Konstabel Muhammad Azlan Ahmad yang sedang menjalankan rondaan di belakang sebuah bangunan berdekatan Surau Ibu Pejabat Pengakap, Gadong mendapati seorang lelaki dan seorang perempuan sedang berdua-duaan di dalam sebuah kereta.

Mungkin disebabkan oleh rasa bersalahnya, wanita terbabit menghulurkan wang tunai berjumlah $200 sebagai wang sogokan kepada anggota STS berkenaan supaya tidak mengambil tindakan ke atas mereka berdua.

Atas sikap dan pendirian yang teguh serta ingatan kepada sumpah dan ikrar mereka untuk menegakkan undang-undang negara, kedua-dua anggota Pasukan Polis Diraja Brunei itu telah melaporkan dan mengambil tindakan ke atas tertuduh berkenaan. Berikutan laporan berkenaan, tertuduh dihadapkan ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman denda $6,000 ataupun enam bulan penjara.

Majlis Penyampaian Sijil Kepujian berkenaan diadakan sewaktu Kawad Pesuruhjaya Polis hari ini di Ibu Pejabat Polis, Gadong, yang disempurnakan oleh Pesuruhjaya Polis, Pehin Dato Paduka Seri Zainuddin Jalani.

Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Sharifah Salamah Syed Hussein Alkaff dan Penyiasat Khas Kanan Biro Mencegah Rasuah, Md Yusof Haji Abdul Rahman yang mewakili Biro Mencegah Rasuah.

Kawad Pesuruhjaya Polis yang diadakan setiap bulan itu disertai seramai 151 orang pegawai dan ahli pangkat rendah dari jabatan di bawah Pasukan Polis Diraja Brunei.

Acara diakhiri dengan nyanyian ramai lagu "Polis Setia Berkhidmat" oleh semua yang menyertai kawad berkenaan, diiringi Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei.

 

11:04:07

 

10-06-2010



 

ORANG HILANG

LINKS


 

Media

count web site visits

© Hak Cipta 2009 - 2010, Pasukan Polis Diraja Brunei, Brunei Darussalam.    |   Laman ini sesuai dilayari mengunakan Internet explorer