MoU perangi rasuah di kalangan anggota polis


Pertukaran dokumen MoU antara Ang Swee Kiang dan Pehin Dato Paduka Seri Zainuddin.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Kerjasama di antara Biro Mencegah Rasuah (BMR) dan Pasukan Polis Diraja Brunei untuk memerangi rasuah di kalangan anggota polis dilancarkan hari ini melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) oleh Pemangku Pengarah BMR, Ang Swee Kiang dan Pesuruhjaya Polis, Pehin Dato Paduka Seri Zainuddin Jalani.

Majlis memeterai penandatanganan di Mes Pegawai Polis ITU disaksikan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Haji Omar Haji Abd Rahman.

Pengerusi Bersama majlis yang juga Timbalan Pengarah BMR, Haji Abd Raub Haji Mohd Yassin dalam ucapannya berkata, MoU itu dibentuk bagi menjadikan warga pasukan polis berintegriti tinggi, bekerja dengan jujur, ikhlas, amanah dan membudayakan perbuatan rasuah supaya tidak wujud lagi dalam pasukan polis.

Matlamat MoU adalah untuk memperkembangkan lagi program latihan bagi rekrut polis dengan memasukkan subjek nilai murni, etika kerja dan pendidikan pencegahan rasuah ke dalam kurikulum latihan rekrut.

Selain itu, MoU juga akan memberi peluang memperkembangkan program bengkel latihan seperti berkongsi kepakaran, maklumat, penyelidikan dan aktiviti lain berkaitan ilmu pengetahuan.

Adalah penting bagi kedua-dua pihak untuk mengadakan jawatankuasa pandu yang terdiri dari pegawai kanan dan jawatankuasa itu pula, katanya, akan dibantu oleh jawatankuasa kerja yang terdiri daripada pegawai kanan BMR dan pasukan polis yang akan menjalankan MoU ini dengan lebih berkesan.

Majlis itu turut menyaksikan pemasangan lencana butang BMR bagi mempromosi 'Perkhidmatan Cemerlang Ke Arah Negara Bebas Rasuah' oleh Ang Swee Kiang kepada Pehin Dato Paduka Seri Zainuddin.

Lencana butang itu juga akan diagihkan kepada semua anggota pasukan polis bagi mempromosi perkhidmatan cemerlang - ke arah negara bebas rasuah.
 

Oleh Rafidah Jumat