MUKA DEPAN

INFO POLIS

PERKHIDMATAN

KERJAYA

HUBUNGI

BERITA

ASEANAPOL gigih cari jalan banteras jenayah


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Persidangan Ketua-Ketua Polis ASEAN ke-30 (ASEANAPOL) diadakan di Phnom Penh pada 24-28 Mei lalu dan dihadiri kira-kira 300 delegasi yang mewakili pasukan polis dari 10 negara anggota ASEAN, lima dari negara dialog - China, Jepun, Republik Korea, Australia dan New Zealand - termasuk perwakilan dari Interpol dan pelbagai agensi kerajaan Kemboja.

    

Menurut kenyataan dari Pasukan Polis Diraja Brunei, Brunei diwakili Pesuruhjaya Polis, Pehin CP Dato Paduka Seri Zainuddin Jalani.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalaman yang mewakili kerajaan Kemboja, Sar Kheng menyampaikan ucaptamanya seterusnya merasmikan pembukaan persidangan yang dipengerusikan Pesuruhjaya Agung Kemboja, Jeneral Polis Neth Savoeun.

Persidangan memuatkan dua sesi plenari, perbincangan ketua-ketua delegasi (HOD), perbincangan HOD bersama rakan kongsi dialog dan timbalan ketua delegasi, tiga perbincangan pesuruhjaya dan dua perbincangan kumpulan kerja.

Pada perbincangan pesuruhjaya, setiap negara anggota menyampaikan status laporan mengenai usaha masing-masing dalam memerangi bidang jenayah iaitu Pesuruhjaya 'A' bagi menangani penyeludupan dadah haram, pengganasan, penyeludupan senjata, penyeludupan manusia dan pemalsuan maritim, Pesuruhjaya 'B' menumpukan pada jenayah komersial, kesalahan perbankan, pemalsuan kad kredit, jenayah siber, pemalsuan dokumen perjalanan dan pemalsuan transnasional.

Pesuruhjaya 'C' pula membincangkan mengenai elektronik ASEANAPOL, sistem pangkalan (e-ADS), bantuan bersama dalam perkara jenayah, pertukaran anggota dan mendraf kenyataan bersama.

Ketua-ketua delegasi ASEANAPOL ke-30 turut mengadakan perbincangan forum untuk pertukaran pandangan mengenai perkembangan dan kaedah pelaksanaan berbagai langkah operasi, terutama dalam bagaimana negara anggota yang terbaik dapat bekerjasama untuk menangani musuh jenayah transnasional.

Mereka juga berbincang dengan ketua-ketua delegasi rakan kongsi dialog ASEANAPOL yang membabitkan isu pengukuhan kerjasama, terutama dalam bidang penguatkuasaan undang-undang yang membawa kepada hasil perkembangan pelan tindakan yang akan dilaksanakan oleh setiap negara anggota dan negara rakan kongsi dialog berkaitan.

Timbalan ketua-ketua delegasi pula membincangkan mengenai isu pentadbiran berkaitan dengan Sekretariat ASEANAPOL yang sudah pun ditubuhkan di Kuala Lumpur, kata kenyataan itu.

Kumpulan kerja pertama membincangkan tugasan Sekretariat ASEANAPOL bagi menerokai berbagai kemungkinan dan menyediakan cadangan untuk mengukuhkan mekanisme ASEANAPOL untuk kerjasama yang lebih kukuh dan berkesan.

Kumpulan kerja kedua pula menumpukan kepada kerjasama polis di antara negara anggota ASEAN dan rakan kongsi dialog terutama menubuhkan serta mengukuhkan kerjasama penyiasatan antara ASEANAPOL dan rakan kongsi dialog seterusnya mempromosi penyelarasan dan kerjasama antara Sekretariat ASEANAPOL dan rakan kongsi dialog.

Persidangan ASEANAPOL mencapai sepakat dengan perkembangan pelaksanaan Kenyataan Bersama ASEANAPOL ke-30 dan menggalakkan negara anggota dan rakan kongsi dialog untuk terus melaksanakan cadangan dari persidangan ini.

Rakan kongsi dialog ASEANAPOL turut menyuarakan untuk bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dalam melaksanakan pelbagai program bagi mempertingkatkan lagi keupayaan, kerjasama dan penyelarasan dalam usaha untuk memerangi jenayah transnasional.

Persidangan itu bersetuju bahawa mesyuarat tahunan persidangan ASEANAPOL terbukti amat berguna dan berkesan dalam mempromosi kerjasama serantau di kalangan pasukan polis ASEAN.

Persidangan ASEANAPOL kali ke-30 itu turut bersetuju bahawa persidangan seterusnya akan diadakan di Laos pada tahun depan.

Oleh Rafidah Jumat

 



 

ORANG HILANG
ORANG DIKEHENDAKI

LINKS


 

Media

count web site visits

© Hak Cipta 2009 - 2010, Pasukan Polis Diraja Brunei, Brunei Darussalam.    |   Laman ini sesuai dilayari mengunakan Internet explorer